Dolar AS dijangka terus meningkat berbanding mata wang lain - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Dolar AS dijangka terus meningkat berbanding mata wang lain

 


KUALA LUMPUR: Mata wang negara di Asia diunjurkan susut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada separuh kedua 2022 dan berpotensi berlarutan sehingga separuh pertama 2023, demikian menurut RHB Investment Bank Bhd.

Bank pelaburan itu menjelaskan Indeks Dolar AS (Indeks DXY) dijangka mencatatkan julat 107 hingga 112 pada suku keempat 2022 berbanding penilaian awal pada 103 hingga 106.

"Pada separuh pertama 2023, Indeks DXY boleh kekal tinggi dengan keseimbangan risiko cenderung kepada paras teratas julat dan mencecah sekitar 114 hingga 116," menurutnya menerusi nota penyelidikan Global Cross Asset Flows Tracker (Penjejak Aliran Aset Rentas Global) bertajuk Global Economics & Market Strategy (Ekonomi Global dan Strategi Pasaran) yang dikeluarkan pada Rabu.

Penyongsangan keluk UST2s10s (perbezaan hasil Perbendaharaan AS di antara yang berjangka dua tahun dengan 10 tahun) akan berterusan dan mencecah negatif 50 hingga negatif 60 mata asas (bps) pada suku keempat 2022 dengan potensi penyongsangan seterusnya pada separuh pertama 2023, tambahnya.

Menurut RHB Investment, ini berlaku apabila pasaran mempertimbangkan semula pandangan pihaknya bahawa Kadar Dana Rizab Persekutuan AS atau dikenali sebagai kadar faedah AS akan mencecah sekurang-kurangnya empat peratus dalam tempoh dua sukuan akan datang, jika tidak lebih tinggi, dan hasil 10 tahun Perbendaharaan AS susut kepada 2.8 hingga 3.1 peratus apabila pertumbuhan global semakin perlahan.

"Selain itu, carta teknikal menunjukkan bahawa melainkan Indeks DXY melepasi di bawah paras sokongan penting kira-kira 107 mengikut asas mampan, dolar AS dalam pergerakan meningkat berasaskan trend.

"Justeru, faktor asas dan faktor teknikal mencadangkan bahawa dolar AS boleh kekal tinggi dalam tempoh dua sukuan akan datang, jika tidak lebih lama," jelasnya.

Oleh yang demikian, RHB Investment Bank menjelaskan pihaknya menyemak naik unjuran bagi pasangan dolar AS/rupiah Indonesia; dolar AS/dolar Singapura; dolar AS/baht Thailand dan dolar AS/dong Vietnam bagi separuh kedua 2022 dan 2023.

Dalam nota penyelidikan Global Cross Asset Flows Tracker pada 7 September RHB Investment menyemak unjuran dolar AS/yuan dalam pasaran luar pesisir China bagi akhir suku ketiga 2022 kepada 7.0 daripada 6.735; unjuran bagi akhir suku keempat 2022 kepada 7.05 daripada 6.725; dan unjuran bagi 2023 kepada 7.10 daripada 6.715.

Selain itu, bank juga menyemak unjuran nilai ringgit berbanding dolar AS bagi akhir suku ketiga 2022 kepada 4.52 daripada 4.40 serta bagi akhir suku keempat 2022 kepada 4.55 daripada 4.35.

"Unjuran kami bagi dolar AS/ringgit pada akhir 2023 disemak kepada 4.47 daripada 4.30. Kami juga percaya eksport oleh negara Asia akan perlahan pada separuh kedua 2022 sekali gus akan menyebabkan mata wang negara Asia lemah berbanding dolar AS," tambahnya. 

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini