Ringgit akhiri penurunan enam hari berturut-turut - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit akhiri penurunan enam hari berturut-turut


KUALA LUMPUR: Ringgit meningkat semula selepas enam hari berturut-turut mengalami penurunan untuk ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Rabu, didorong minat belian diperbaharui dan kenaikan harga minyak mentah, menjelang keputusan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS.

Pada jam 6 petang, mata wang tempatan meningkat kepada 4.5520/5550 berbanding dolar AS daripada 4.5585/5595 ketika ditutup pada Selasa.

Semasa laporan ini ditulis, harga minyak mentah Brent yang menjadi penanda aras pasaran melonjak 2.33 peratus kepada AS$92.73 setong.

Peniaga ActivTrades, Anderson Alves, berkata pelabur dijangka mengikuti rapat pergerakan dolar AS memandangkan hasil Perbendaharaan AS kukuh di sepanjang keluk.

"Selain itu, kelegaan dan sokong kepada aset berisiko dapat dilihat di seluruh papan jika Fed tidak memutuskan kadar faedah tinggi selain menangguhkan retorik baru-baru ini untuk cuba melaraskan harga pasaran ketika ini dalam kitaran pengetatan," katanya dalam nota penyelidikan pada Rabu.

Di peringkat tempatan, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kadar pertukaran ringgit yang fleksibel yang menjadi satu dasar penting bagi mengimbangi keperluan menyerap kejutan luaran untuk menyokong aktiviti ekonomi domestik, meskipun dalam keadaan pasaran kewangan dan kadar pertumbuhan ekonomi global tidak menentu.

Beliau berkata, kerajaan melalui Bank Negara Malaysia (BNM) tidak bercadang untuk menambat ringgit kepada dolar AS pada masa ini kerana langkah itu mempunyai risiko dan trade off yang besar.

Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding beberapa mata wang utama.

Mata wang tempatan naik berbanding yen Jepun kepada 3.1633/1656 daripada 3.1725/1734 ketika ditutup pada Selasa, serta meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2217/2243 daripada 3.2341/2353.

Ringgit tinggi berbanding pound British kepada 5.1629/1663 daripada 5.2049/2060 semalam dan stabil berbanding euro kepada 4.5197/5227 daripada 4.5608/5618.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini