Ringgit berkemungkinan susut lagi minggu depan - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit berkemungkinan susut lagi minggu depan


KUALA LUMPUR: Ringgit berkemungkinan bergerak dalam aliran penyusutan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada minggu depan berikutan kemungkinan pihak Rizab Persekutuan (Fed) negara maju itu menaikkan lagi kadar faedah.

Ketua Ahli Ekonomi Global Juwai IQI, Shan Saeed, berkata kecenderungan bank pusat AS itu untuk menaikkan kadar itu dijangka berterusan untuk beberapa lama dalam usaha membendung inflasi.

"Ringgit sebaliknya dijangka dapat bertahan susulan peningkatan semula komoditi ketika asas-asas makro kekal kukuh.

"Malah, angka perdagangan kekal baik dengan kestabilan makroekonomi masih lagi wujud di pasaran," katanya kepada Bernama.

Pada Selasa lalu, pihak Fed memaparkan pendiriannya yang lebih memilih untuk menaikkan kadar faedah pada mesyuarat akan datang berikutan inflasi di ekonomi terbesar dunia itu tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda akan susut.

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi Putra Business School, Profesor Madya Ahmed Razman Abdul Latiff menjangkakan ringgit diniagakan dalam julat 4.4800-4.4900 berbanding dolar AS minggu depan.

Pada minggu yang baru berakhir, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding dolar AS selepas mata wang negara maju itu mencecah paras tertinggi dalam tempoh 20 tahun berbanding mata wang utama lain di tengah-tengah penurunan harga minyak susulan kebimbangan mengenai ekonomi China.

Selain itu, pada Jumaat, ringgit susut berbanding dolar AS pada 4.4855/4870 berbanding 4.4655/4675 pada minggu sebelumnya.

Ringgit bagaimanapun diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding kelompok mata wang utama lain.

Unit tempatan itu naik berbanding yen kepada 3.1950/1963 daripada 3.2619/2636, mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.1888/1906 daripada 5.2831/2855, turun berbanding dolar Singapura pada 3.1996/200 daripada 3.2140/2159, minggu lalu.

Namun ringgit susut berbanding euro kepada 4.4873/4888 daripada 4.4668/4688 pada minggu sebelumnya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini