Dolar AS terus kukuh, ringgit ditutup rendah - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Dolar AS terus kukuh, ringgit ditutup rendah

 


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini menjelang pengumuman data pekerjaan Amerika Syarikat (AS).

Pada 6 petang, mata wang tempatan turun kepada 4.4855/4870 berbanding mata wang AS daripada 4.4820/4840 ketika ditutup pada Khamis.

Peniaga ActivTrades, Anderson Alves, berkata jika laporan itu lebih kukuh daripada jangkaan, dolar AS boleh terus mencapai paras tertinggi dalam tempoh 20 tahun berbanding mata wang utama dalam persekitaran dagangan selamat.

"Bagaimanapun dari segi makro, data terkini menunjukkan bahawa pertumbuhan global jelas bergerak perlahan dan risiko kemelesetan secara langsung meningkat apabila inflasi yang tinggi mengurangkan pelaburan dan perbelanjaan pengguna," katanya kepada Bernama.

Namun, kemerosotan ringgit itu diimbangi oleh kenyataan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bahawa negara telah menarik pelaburan bernilai RM123.3 bilion (AS$28.0 bilion) yang diluluskan dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan utama yang membitkan 1,714 projek dari Januari hingga Jun 2022.

MIDA berkata, pelaburan langsung asing (FDI) kekal sebagai penyumbang utama, pada 70.9 peratus atau RM87.4 bilion (AS$19.9 bilion) manakala pelaburan daripada sumber domestik menyumbang 29.1 peratus berjumlah RM35.9 bilion (AS$8.2 bilion).

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding kumpulan mata wang utama.

Unit tempatan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.1996/2009 daripada 3.2028/2047 ketika ditutup pada Khamis dan melonjak berbanding pound Britain kepada 5.1888/1906 daripada 5.1964/1987.

Ringgit menokok berbanding yen Jepun kepada 3.1950/1963 daripada 3.2205/2222 sebelumnya dan melonjak berbanding euro kepada 4.4873/4888 daripada 4.4923/4943 pada Khamis.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini