Ringgit, bursa semakin diasak kenaikan kadar faedah AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit, bursa semakin diasak kenaikan kadar faedah AS


KUALA LUMPUR: Peningkatan berterusan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) secara agresif dengan dijangka mencecah paras 4.4 peratus tahun ini dilihat akan terus memberi tekanan kepada prestasi ringgit dan pasaran saham tempatan, demikian kata penganalisis.

Langkah mengetatkan dasar monetari secara agresif oleh Rizab Persekutuan (Fed) itu, di samping ketidaktentuan luaran yang berterusan dicetuskan konflik geopolitik memperlihatkan mata wang tempatan menghampiri paras RM4.60 sedolar.

Ketua Ahli Ekonomi Kumpulan/Ketua Penyelidik AmBank Research, Dr Anthony Dass, berkata masih terdapat tekanan meningkat terhadap mata wang tempatan.

Beliau berkata, kenaikan kadar faedah AS yang agresif dengan jangkaannya pada paras 4.25 hingga 4.50 peratus dengan aliran meningkat kepada 4.50 peratus hingga 4.75 peratus pada akhir 2022 akan menyukarkan ringgit untuk kembali ke paras RM4.45 sedolar akhir tahun ini.

"Tinjauan kami bagi ringgit berbanding dolar AS kini adalah antara RM4.45-RM4.50 dengan risiko meningkat kepada RM4.55 hingga RM4.60," katanya dalam satu nota penyelidikan.

Dolar AS melonjak ke paras tertinggi baharu dalam tempoh dua dekad dan saham Asia mencecah paras terendah dalam dua tahun dengan jangkaan prospek kadar faedah AS akan terus dinaikkan lebih pantas telah menakutkan pelabur.

Fed menaikkan kadar penanda aras sebanyak 75 mata asas atau 0.75 peratus, kenaikan yang sama kali ketiga berturut-turut, menjadikan kadar dasar kepada 3.0-3.25 peratus.

Penganalisis HLIB Research, Felicia Ling dalam nota penyelidikannya pula berkata, memandangkan unjuran terkini Fed memberi isyarat lebih tegas kepada kenaikan kadar faedah, ringgit dijangka terus susut nilai menjelang akhir tahun ini.

Beliau berkata, HLIB Research menjangkakan purata ringgit berbanding dolar AS sekitar paras RM4.40 sedolar berbanding purata sekitar RM4.30 sedolar sebelumnya.

Katanya, pemulihan berterusan dalam pasaran pekerjaan dan pembukaan semula sempadan antarabangsa dijangka terus menyokong Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada suku ketiga 2022.

Bagaimanapun, jelasnya, pihaknya mengekalkan jangkaan bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) untuk berhenti seketika menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada November ini kerana ia menilai perkembangan global dan kesannya kepada pertumbuhan domestik pada masa depan.

Mengenai pasaran saham tempatan, HLIB Research menjangkakan indeks penanda aras FBM KLCI akan meneruskan aliran menurun berikutan pelbagai ketidaktentuan luaran.

Katanya, dasar mengetatkan dasar monetari yang agresif oleh bank pusat global, inflasi tinggi, ketegangan geopolitik yang meningkat dan kebimbangan kemelesetan global serta kelemahan ringgit akan memberi tekanan menurun kepada pasaran tempatan.

"Sebarang lantunan teknikal daripada kedudukan terlebih jual dengan jangkaan Bajet 2023 yang mesra pasaran berkemungkinan mengehadkan paras halangan (FBM KLCI) sekitar 1,468-1,482-1,500, manakala sokongan utama pula pada paras 1,408-1,418-1,436 mata," katanya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini