Ringgit ditutup rendah untuk hari keempat berturut - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup rendah untuk hari keempat berturut


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) untuk hari keempat berturut-turut pada Selasa berikutan pengukuhan ketara unit negara maju itu apabila pelabur terus memburu mata wang selamat dan mengelak faktor yang berisiko, kata penganalisis.

Pada 6 petang, ringgit susut ke paras 4.6100/6120 berbanding dolar AS daripada 4.6030/6045, semalam.

Menurut penganalisis itu, pengukuhan dolar AS dipacu oleh jangkaan pelabur bahawa pihak Rizab Persekutuan AS (Fed) akan meneruskan dasar memperketat monetari yang agresif bagi membendung peningkatan inflasi.

Malah, katanya, langkah menaikkan kadar faedah itu juga menyusuli sentimen panik akibat kejatuhan saham-saham Eropah selain penyusutan mata wang pound Britain.

"Kebimbangan itu diburukkan lagi dengan ancaman berterusan mengenai kemungkinan Rusia menggunakan senjata nuklear bagi mengekalkan kedudukannya dalam tindakan ketenteraannya terhadap Ukraine selain kemasukan senjata api dari AS ke Ukraine yang akan hanya mengheret Washington dalam konflik menentang Moscow," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata berdasarkan asas setakat tahun ini, ringgit telah meningkat berbanding mata wang lain seperti yen Jepun, pound Britain, baht Thailand dan euro.

"Penyusutan ringgit pada masa ini dipengaruhi terutamanya oleh peralihan dalam jangkaan pasaran serta pergerakan pasaran kewangan," katanya.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan dengan prestasi berbeza-beza berbanding mata wang utama lain.

Ia mengukuh berbanding euro kepada 4.4321/4340 daripada 4.4405/4420 dan naik berbanding yen Jepun kepada 3.1925/1941 daripada 3.1950/1965.

Ringgit bagaimanapun susut berbanding dolar Singapura kepada 3.2099/2117 daripada 3.2054/2069 dan turun berbanding pound Britain kepada 4.9770/9791 berbanding 4.9197/9213.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini