Ringgit terus menjunam, terendah sejak krisis kewangan Asia - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit terus menjunam, terendah sejak krisis kewangan Asia


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Khamis, mencecah paras RM4.53 yang juga terendah sejak krisis kewangan Asia, kata penganalisis.

Pada 6 petang, mata wang tempatan itu susut kepada 4.5340/5365 berbanding dolar AS daripada 4.5265/5285 pada akhir urus niaga Rabu.

Penganalisis berkata, berikutan ketiadaan sebarang pemangkin baharu sebagai penarik ringgit, kalangan pelabur sebaliknya lebih menumpukan kepada dolar AS serta aset selamat lain.

"Selain itu, walaupun ringgit diniagakan rendah berbanding dolar AS, ekonomi Malaysia kekal kukuh dan tidak mengalami krisis sebagaimana ditegaskan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, baru-baru ini," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Penganalisis Pasaran ActivTrades, Alexander Londono, berkata pengukuhan dolar AS itu didorong oleh jangkaan peningkatan inflasi secara berterusan.

Menurutnya, penyusutan Bursa Malaysia turut memberi tempias terhadap ringgit apabila indeks petunjuk utama FBM KLCI susut sebanyak 1.13 mata kepada 1,467.31 hari ini daripada 1,468.44 pada Rabu.

"Di peringkat luar, sekiranya angka jualan runcit AS lebih baik daripada dijangkakan, ini akan menyuntik kenaikan dolar AS dan akibatnya gandingan ringgit-AS akan terus susut," katanya.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding kumpulan mata wang utama.

Ringgit mengukuh berbanding pound Britain pada paras 5.2214/2242 daripada 5.2331/2354 sebelum ini dan meningkat berbanding dolar Singapura pada 3.2238/2261 daripada 3.2252/2268, sebelumnya.

Bagaimanapun, ringgit susut berbanding euro kepada 4.5317/5342 daripada 4.5306/5326 semalam dan rendah berbanding yen kepada 3.1647/1666 daripada 3.1616/1635, pada Rabu.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini