Sentimen positif lonjak nilai ringgit - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Sentimen positif lonjak nilai ringgit


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini susulan sentimen yang bertambah baik mendapat rangsangan daripada peningkatan nilai jualan sektor pembuatan Malaysia yang berkembang 23.8 peratus kepada RM148.4 bilion pada Julai dan data Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) yang lebih kukuh, kata peniaga.

Pada 6 petang, mata wang tempatan meningkat kepada 4.4965/4990 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.5010/5040 pada Khamis.

Peniaga itu berkata, nilai jualan pembuatan Malaysia dan data IPP kukuh yang diumumkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia hari ini meningkatkan keyakinan dalam pasaran.

Menurut Jabatan Perangkaan, nilai jualan sektor pembuatan Malaysia pada Julai 2022 berkembang sebanyak 23.8 peratus kepada RM148.4 bilion, dipacu antara lainnya; subsektor produk elektrik dan elektronik (E&E), petroleum, kimia, getah dan subsektor produk getah dan plastik.

IPP pula meningkat sebanyak 12.5 peratus pada Julai 2022 berbanding tahun sebelumnya dipacu oleh sektor pembuatan, elektrik dan perlombongan yang masing-masing merekodkan pertumbuhan 14.9 peratus, 13.2 peratus dan 3.2 peratus.

Sementara itu, peniaga ActivTrades, Dyogenes Rodrigues Diniz, berkata dolar AS gagal melepasi paras tinggi semalam meskipun pengerusi Rizab Persekutuan AS (Fed AS) mengulangi komitmennya untuk mengekalkan kestabilan harga dan membendung inflasi.

Ringgit diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan turun berbanding dolar Singapura kepada 3.2189/2209 daripada paras penutup 3.2015/2041 pada Khamis, jatuh berbanding pound kepada 5.2249/2278 daripada 5.1730/1764, susut berbanding euro kepada 4.5361/5386 daripada 4.4996/5026 dan berkurangan berbanding yen kepada 3.1670/1690 daripada 3.1285/1308 sebelumnya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini