Ringgit ditutup tinggi hari ini selepas OPR dinaikkan - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup tinggi hari ini selepas OPR dinaikkan

 


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini selepas Bank Negara Malaysia (BNM) meningkatkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.50 peratus pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) kelima hari ini.

Pada 6.01 petang Khamis 8/9/2022, mata wang tempatan meningkat kepada 4.5010/5040 berbanding dolar AS daripada 4.5020/5040 pada Rabu.

Penganalisis Ekonomi Putra Business School, Profesor Madya Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata ringgit dijangka kekal lemah walaupun BNM mengumumkan kenaikan OPR.

"Ringgit berkemungkinan akan terus lemah berikutan penurunan harga minyak termasuk minyak sawit mentah, yang memberi sumbangan besar kepada ekonomi Malaysia.

"Ketidaktentuan yang menyelubungi ekonomi AS terutamanya kadar inflasi, pengangguran serta bayangan oleh Rizab Persekutuan untuk menaikkan kadar faedah memberi kesan pada ringgit," katanya kepada Bernama hari ini.

Sementara itu, ringgit diniagakan lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan itu susut berbanding dolar Singapura kepada 3.2015/2041 daripada 3.1990/2009, lemah berbanding pound kepada 5.1730/1764 daripada 5.1723/1746 ketika ditutup pada Rabu.

Ringgit juga jatuh berbanding euro kepada 4.4996/5026 daripada 4.4615/4635 dan lebih rendah berbanding yen kepada 3.1285/1308 daripada 3.1238/1254 semalam.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini