Jangkaan kenaikan kadar faedah AS, Ringgit dijangka tidak menentu - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Jangkaan kenaikan kadar faedah AS, Ringgit dijangka tidak menentu

 


KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka diniagakan secara berhati-hati berbanding dolar AS minggu depan kerana peniaga mahu menunggu keputusan Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) terhadap kenaikan kadar faedah pada 2 November ini.

Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata ringgit dijangka diniagakan antara 4.72 to 4.75 berbanding dolar AS minggu depan.

"Tetapi ia mungkin berubah sekiranya Fed terus mahu menaikkan kadar faedah pada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS minggu depan," katanya kepada Bernama.

Innes berkata pasaran harus mempelbagaikan minat kerana sistem kewangan Asia semakin merosot daripada hanya menumpukan perhatian kepada FOMC sahaja.

"Bank of Korea campur tangan untuk menstabilkan pasarannya pada Khamis manakala bank milik kerajaan China telah menjual dolar. Ia bukan jalan penyelesaian menyeluruh kerana permintaan terhadap dolar AS akan berlaku lagi," katanya.

Innes berpendapat ringgit akan menjadi kurang menarik sehingga Fed menyatakan pendiriannya mengenai monetori dan China pula akan menamatkan sekatan pergerakan penuh.

Pada Jumaat, ringgit naik berbanding dolar AS kepada 4.7225/7275 daripada 4.7380/7395 pada minggu sebelumnya.

Mata wang tempatan diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

Ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.3436/3474 daripada 3.3144/3157 pada akhir minggu lepas dan susut berbanding euro kepada 4.7008/7058 daripada 4.6139/6153.

Ringgit jatuh berbanding pound Britain kepada 5.4455/4513 daripada 5.2677/2694 dan berkurangan berbanding yen Jepun kepada 3.1976/2012 daripada 3.1384/1396 pada minggu sebelumnya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini