Nilai pound Britain jatuh mendadak - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Nilai pound Britain jatuh mendadak

 


LONDON: Pound Britain merosot lebih satu peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini selepas campur tangan Bank of England (BoE) dalam pasaran bon untuk mengelakkan krisis kewangan baharu.

Mata wang itu merosot serendah AS$1.0763 pada awal pagi urus niaga London sehari selepas BoE membeli bon kerajaan jangka panjang untuk mengelakkan risiko material kepada kestabilan.

Bank pusat Britain itu berikrar untuk membeli sebanyak mungkin bon yang diperlukan untuk menstabilkan pasaran, yang mana dibelenggu kebimbangan bahawa bajet United Kingdom (UK) pada minggu lalu akan melonjakkan hutang.

Langkah BoE sudah tentu telah meningkatkan tahap kebimbangan terhadap potensi kesan negatif ekonomi dan pasaran kewangan akibat hilangnya keyakinan terhadap kewangan awam UK, kata Penganalisis MUFG, Lee Hardman.

Pengurangan besar cukai bajet UK dan pembekuan harga tenaga, yang bertujuan untuk meningkatkan ekonomi UK yang terancam kemelesetan, telah menyebabkan hasil bon melonjak dan pound jatuh ke paras terendah AS$1.0350 pada Isnin berikutan peniaga bimbang ia akan menjejaskan kewangan awam.

Langkah BoE dibuat selepas Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengkritik bajet Britain baru-baru ini, dengan alasan ia boleh meningkatkan ketidaksamaan dan memburukkan lagi inflasi.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini