Nilai ringgit jatuh lagi - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Nilai ringgit jatuh lagi

 


KUALA LUMPUR: Ringgit terus menyusut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Rabu ketika permintaan terhadap mata wang negara maju itu melonjak susulan peningkatan hasil Perbendaharaan AS, kata penganalisis.

Pada 6 petang, mata wang tempatan susut sebanyak 35 mata asas kepada 4.7180/7220 daripada 4.7145/7165 pada akhir urus niaga semalam.

Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata walaupun data perdagangan Malaysia terbukti lebih baik daripada dijangkakan, ini tidak dapat melonjakkan prestasi ringgit ketika hasil Perbendaraan 10 Tahun AS menokok kira-kira empat peratus.

"Ini memberi impak negatif terhadap sentimen risiko yang kian pulih apabila permintaan dolar AS sebagai aset selamat agak perlahan pada minggu ini," katanya kepada Bernama.

Terdahulu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri mengumumkan prestasi perdagangan Malaysia terus mencatat aliran peningkatan pada September 2022 dengan melonjak sebanyak 31.4 peratus kepada RM256.91 bilion berbanding bulan sama tahun lalu iaitu bulan ke-20 berturut-turut merekodkan pertumbuhan dua angka.

Dalam pada itu, Innes berkata yuan China terus susut dan berdasarkan perbandingan pengukuhan ringgit dan prestasi yuan, ini bukan sesuatu yang mengejutkan apabila ringgit ditutup rendah pada akhir urus niaga hari ini.

Penyusutan yuan tersebut didorong oleh kebimbangan mengenai kemungkinan China mengalami kemelesetan yang boleh menjejaskan syarikat-syarikat China yang menjalankan aktiviti eksport ke China, katanya.

"Kelemahan ringgit serta data eksport yang kukuh juga sejajar dengan penurunan minat pengeksport terhadap dolar AS selepas lonjakan mata wang negara maju itu menyebabkan berlaku kekurangannya. Berikutan itu, pengeksport tidak berminat untuk membuat pertukaran dolar AS dengan unit tempatan," katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding kelompok mata wang negara maju.

Ringgit susut berbanding pound Britain kepada 5.3233/3278 daripada 5.3118/3141 semalam dan rendah sedikit berbanding dolar Singapura kepada 3.3176/3207 daripada 3.3168/3184.

Unit tempatan itu bagaimanapun mengukuh sedikit berbanding euro kepada 4.6326/6365 daripada 4.6372/6391 dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.1611/1642 daripada 3.1630/1646 pada akhir urus niaga Selasa.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini