Ringgit terus susut berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit terus susut berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Nilai ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pada urus niaga pagi Khamis berikutan pelabur masih menantikan langkah menaikkan kadar faedah selanjutnya oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed), kata peniaga.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan menyusut nilai kepada 4.7250/7265 daripada penutup hari Rabu 4.7180/7220.

Peniaga berkata kekurangan pemangkin yang menggerakkan pasaran berserta pengukuhan nilai dolar AS yang didorong oleh hasil Perbendaharaan AS yang lebih tinggi selain kejatuhan harga minyak mentah, mengheret turun dagangan ringgit pada awal sesi urus niaga.

Sementara itu, minyak mentah Brent turun 0.17 peratus kepada AS$92.25 setong.

Namun begitu, menurut CGS-CIMB menerusi catatannya, ringgit yang lemah mungkin menyokong eksport Malaysia kerana kedua-duanya cenderung untuk mempunyai hubung kait yang positif.

Firma pembrokeran itu berkata prestasi sektor elektrik dan elektronik (E&E) Malaysia menongkah arus arah aliran global yang menurun apabila penghantaran terus mengatasi prestasi jualan global pada September 2022.

Menurut Jabatan Perangkaan, eksport produk E&E negara ke China meningkat 36.5 peratus tahun ke tahun pada September 2022, berbeza dengan penyederhanaan dalam penghantaran negara serantau lain.

"Kami percaya sebahagian daripada kekuatan itu disebabkan oleh kos yang menarik memandangkan prestasi ringgit yang lebih lemah," tambahnya.

Malaysia mencatatkan lebihan dagangan sebanyak RM31.71 bilion pada September 2022, rekod tertinggi baharu bagi negara, mengatasi paras tertinggi sebelumnya iaitu RM31.5 bilion pada Disember tahun lalu.

Sementara itu, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ringgit menambah nilai berbanding pound Britain kepada 5.2948/2965 daripada 5.3233/3278 semalam dan mengukuh berbanding dolar Singapura untuk mencatatkan paras 3.3146/3161 berbanding 3.3176/3207 sebelumnya.

Mata wang tempatan turut meningkat berbanding euro kepada 4.6135/6150 daripada 4.6326/6365 pada Rabu dan lebih tinggi berbanding yen Jepun kepada 3.1515/1527 daripada 3.1611/1642 pada penutupan urus niaga semalam.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini