Ringgit berpotensi susut kepada RM4.70 berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit berpotensi susut kepada RM4.70 berbanding dolar AS

 


KUALA LUMPUR: Ringgit diunjur terus menyusut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) berikutan jangkaan pengumuman data Indeks Harga Pengguna (IHP) negara maju itu yang lebih kukuh, kata penganalisis.

IHP AS bagi September 2022 itu dijadual diumumkan pada 13 Oktober ini.

Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes menjangkakan ringgit akan diniagakan dalam jajaran 4.64 hingga 4.67 atau lebih rendah pada 4.70 berbanding dolar AS jika inflasi IHP AS kekal kukuh pada minggu depan.

"Saya lebih berpendirian sedemikian memandangkan penggubal dasar di peringkat global akan memberi pandangan membantah pengukuhan dolar AS pada mesyuarat Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) di Washington," katanya.

Mesyuarat Tahunan IMF 2022 itu akan berlangsung pada 10-16 Oktober ini.

Bagi minggu yang baru berakhir, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding dolar AS susulan pengumuman laporan gaji bukan perladangan AS serta pendirian atau kenyataan berterusan oleh pegawai Rizab Persekutuan AS (Fed).

Pada Jumaat, ringgit susut berbanding dolar AS yang mencecah 4.6480/6520 berbanding 4.6360/6390 pada minggu sebelumnya.

Bagi asas Jumaat hingga Jumaat, ringgit susut berbanding kumpulan mata wang utama termasuk rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.2529/2559 daripada 3.2343/2368 pada minggu sebelumnya.

Unit tempatan itu turut rendah berbanding pound Britain kepada 5.2132/2177 daripada 5.1728/1762 pada minggu lepas dan susut berbanding euro kepada 4.5574/5613 daripada 4.5428/5458.

Ringgit bagaimanapun mengukuh berbanding yen kepada 3.2084/2116 daripada 3.2103/2126 pada minggu sebelum ini.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini