Ringgit hampir jatuh kepada RM4.70 berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit hampir jatuh kepada RM4.70 berbanding dolar AS

 


KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan aliran penyusutannya berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada akhir urus niaga Rabu apabila unit negara maju itu kekal dilihat sebagai aset selamat menjelang pengumuman minit-minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS (FOMC) lewat hari ini.

Seorang penganalisis berkata, pendirian serta isyarat FOMC yang cenderung untuk menaikkan kadar faedah, hanya terus memberi tekanan ke atas kebanyakan mata wang negara-negara Asia.

Pada 6 petang, ringgit susut kepada 4.6820/6855 berbanding dolar AS daripada 4.6720/6745 pada akhir urus niaga semalam.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata kelemahan ringgit itu juga disebabkan oleh sentimen mengelak risiko selepas pihak Bank of England enggan membeli bon bagi membendung sebarang krisis kewangan di United Kingdom (UK).

"Namun, tanpa sokongan bank itu, apa dialami UK pada akhirnya akan menular sebagai risiko global dan menyebabkan peralihan kepada dolar AS yang dilihat selamat, biarpun pada paras yang tinggi.

"Malah, inilah sebabnya dolar AS mendapat permintaan ketara pada minggu ini. Ketidaktentuan aset-aset UK hanya menjejaskan selera terhadap aset berisiko dan mengasak permintaan terhadap apa dilabelkan sebagai aset berisiko di Malaysia," katanya kepada Bernama.

Innes turut membangkitkan mengenai kemunculan semula kebimbangan terhadap permintaan global selepas pihak Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menyemak turun unjuran pertumbuhan dunia kepada 2.7 peratus daripada 2.9 peratus yang memaparkan kelembapan dunia secara meluas.

"Ketika eksport Asia bergelut sepertimana dipaparkan oleh data perdagangan Korea baru-baru ini yang turut menjadi isyarat permintaan global, kita juga menjangkakan berlakunya kemelesetan eksport di Asia. Ini bukanlah berita yang menarik untuk negara-negara pengeksport seperti Malaysia apabila pertumbuhan global menyusut," katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kelompok mata wang utama lain kecuali yen.

Ringgit susut berbanding susut berbanding pound Britain kepada 5.1825/1864 daripada 5.1607/1635 sebelum ini dan rendah berbanding euro kepada 4.5453/5487 daripada 4.5314/5338.

Unit tempatan itu turun berbanding dolar Singapura kepada 3.2595/2622 daripada 3.2472/2491 namun mengukuh berbanding yen kepada 3.1987/2014 daripada 3.2059/2079, sebelum ini.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini