Ringgit hampiri paras terendah 7 Januari 1998 - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit hampiri paras terendah 7 Januari 1998

 


KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan aliran menurun minggu lalu untuk ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, menghampiri paras terendah pada 4.725 yang dicatatkan pada 7 Januari tahun 1998 kerana sentimen dalam pasaran tempatan dipengaruhi oleh mata wang AS yang kukuh.

Pada 6 petang, ringgit turun kepada 4.7150/7185 berbanding dolar AS daripada 4.7025/7065 pada Jumaat minggu lalu.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Firdaos Rosli, berkata ringgit kekal pada trajektori menurun dalam persekitaran inflasi di AS.

Kadar inflasi AS Khamis lalu meningkat kepada 8.2 peratus tahun ke tahun bersama-sama dengan asas bulan ke bulan sebanyak 0.4 peratus pada September, ia hampir mengesahkan kenaikan 75 mata asas Rizab Persekutuan AS (Fed) pada mesyuarat Fed yang akan berlangsung pada November 2022, katanya.

"Tiada tekanan terhadap ringgit apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenan permintaan Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen, bagi membolehkan pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) diadakan dalam tempoh 60 hari.

"Kami menjangkakan dolar AS/ringgit akan berada dalam jajaran antara RM4.71-4.73, melepasi paras tertinggi yang pernah dicatatkan pada minggu pertama bulan Januari 1998," katanya.

Firdaos menjangkakan pelabur akan memantau data perumahan AS, indeks pengeluaran perindustrian, inflasi UK dan kadar pengangguran serta Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kelompok mata wang utama lain kecuali yen Jepun.

Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.3053/3080 daripada 3.3009/3042 pada Jumaat lepas, jatuh berbanding pound Britain kepada 5.3199/3239 daripada 5.2870/2915 dan berkurangan berbanding euro kepada 4.5981/6015 daripada 4.5741/5780.

Bagaimanapun, ringgit naik berbanding yen Jepun kepada 3.1712/1738 daripada 3.1836/1867 sebelumnya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini