Ringgit menjunam ke paras RM4.70 berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit menjunam ke paras RM4.70 berbanding dolar AS

 


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan mata wang AS itu kekal kukuh dengan kebimbangan berterusan mengenai kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) dalam tempoh beberapa bulan akan datang, kata penganalisis.

Pada 6 petang, ringgit merosot kepada 4.7025/7065 berbanding dolar AS daripada 4.6910/6940 pada Khamis.

Ketua Penyelidikan dan Penasihat Kekayaan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan, berkata Fed dijangka tidak membuat pusingan dalam masa terdekat selepas data inflasi AS baru-baru ini menunjukkan angka yang lebih kukuh daripada jangkaan pada September, memusnahkan harapan untuk kenaikan kadar faedah yang perlahan.

"Walaupun sebarang perbezaan daripada konsensus boleh menyebabkan dolar merosot buat sementara waktu, kami tidak fikir ia akan mengubah hakikat bahawa pasaran kini mengambil kira hampir 100 peratus peluang bahawa Fed akan menaikkan kadar sebanyak 75 mata asas pada November dan mana-mana penurunan dolar adalah untuk jangka pendek," katanya kepada Bernama

Menurut Biro Statistik Buruh AS, Indeks Harga Pengguna (IHP) AS meningkat 0.4 peratus daripada Ogos.

Bagaimanapun, Mohd Sedek berkata satu perkara yang boleh menjadi kebimbangan pasaran ialah walaupun pendirian Fed untuk menaikkan kadar faedah menyebabkan hasil perbendaharaan dan dolar turun naik yang berlebihan daripada kadar pertukaran nominal, ia akan turut meningkatkan risiko kewangan dan kemelesetan jika Fed terus menaikkan kadar.

"Jika kemelesetan berlaku pada 2023, kami menjangka Fed akan membuat pusingan 180 darjah dan mengurangkan kadar dasar kepada hampir sifar," katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama kecuali yen Jepun.

Unit tempatan merosot berbanding pound kepada 5.2870/2915 daripada 5.2291/2324 pada Khamis, berkurangan berbanding euro kepada 4.5741/5780 daripada 4.5625/5654 dan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.3009/3042 daripada 3.2726/2752.

Bagaimanapun, ia mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.1836/1867 daripada 3.1957/1980 semalam.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini