Anwar dilantik PM ke-10, ringgit tertinggi dalam dua bulan - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Anwar dilantik PM ke-10, ringgit tertinggi dalam dua bulan


KUALA LUMPUR: Ringgit meningkat 1.8 peratus ke paras tertingginya dalam tempoh dua bulan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Khamis susulan pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Ke-10 Malaysia yang seterusnya meredakan ketidakpastian politik negara.

Peningkatan unit tempatan itu juga berikutan kelemahan dolar susulan pengeluaran minit-minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Amerika Syarikat.

Pada 6 petang, ringgit naik 815 mata peratusan kepada 4.4910/5000 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.5725/5775 pada Rabu.

Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata ringgit mencatatkan peningkatan paling tinggi dalam kalangan mata wang Asia hari ini, manakala petunjuk pasaran Bursa Malaysia melantun semula 4.04 peratus apabila ketidakpastian politik mereda.

"Ini akan diterima sebagai berita baik bagi pembeli aset Malaysia daripada pelabur tempatan dan juga antarabangsa, justeru ringgit melonjak lebih tinggi susulan berita itu apabila para peniaga menjangkakan lebih banyak aliran masuk ekuiti dan bon asing.

"Saya menjangka pengeksport terus menjual pegangan dolar AS menuju ke penghujung tahun," katanya kepada Bernama.

Pasaran juga mendapat rangsangan daripada harapan tekanan harga akan mula menurun, dengan minit mesyuarat November Rizab Persekutuan menunjukkan kenaikan kadar faedah mungkin akan perlahan tidak lama lagi.

"Akhir sekali adalah dasar pembukaan semula ekonomi China yang akan menjadi satu proses secara perlahan-lahan. Langkah kawalan COVID-19 akan berbeza-beza di seluruh bandar di negara itu tetapi pendekatan menyeluruh masih dilaksanakan," kata Innes.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding kumpulan mata wang utama.

Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2678/2749 daripada paras penutup 3.3053/3094 pada Rabu, naik berbanding euro kepada 4.6792/6886 daripada 4.7202/7254 dan menokok berbanding pound Britain kepada 5.4305/4414 daripada 5.4495/4555.

Bagaimanapun, ringgit susut berbanding yen Jepun kepada 3.2412/2479 daripada paras 3.2344/2382 pada Rabu.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini