Pelantikan Anwar PM ke-10 lonjak Bursa Malaysia, ringgit - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Pelantikan Anwar PM ke-10 lonjak Bursa Malaysia, ringgit



KUALA LUMPUR: Pasaran saham tempatan melonjak ketara, manakala ringgit pula mempamerkan prestasi positif hari ini didorong sentimen positif susulan pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 Malaysia.

Prestasi memberangsangkan itu turut dibantu oleh keyakinan pasaran selepas bank pusat Amerika Syarikat (AS), Rizab Persekutuan (Fed) memberi petujuk bahawa ia akan mengambil langkah kurang agresif untuk menaikkan kadar faedah.

Bursa Malaysia kembali melepasi paras 1,500 mata hari ini apabila ditutup pada 1,501.88 mata, naik 58.38 mata atau 4.04 peratus.

Ia adalah paras tertinggi yang dicatatkan petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) pada penutup sejak 30 Ogos lalu iaitu 1,512.050 mata.

Ketua Jualan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Vincent Lau, berkata di peringkat domestik, pengumuman Anwar sebagai Perdana Menteri baharu Malaysia adalah berita baik untuk pasaran saham kerana ia akan memberi kejelasan dan kepastian kepada pelabur asing serta tempatan.

Katanya, pengumuman Fed juga sesuatu yang memberangsangkan, membolehkan pasaran saham tempatan mendapat dua pemacu utama hari ini termasuk pengumuman penting kepimpinan baharu Malaysia.

"Pengumuman ini (perlantikan Perdana Menteri) dijangka memberikan sentimen yang positif secara berterusan," katanya kepada BH.

Lau berkata, pemilihan Anwar sebagai Perdana Menteri baharu dilihat tepat pada masanya memandangkan tokoh politik berpengaruh itu memiliki kepakaran dalam aspek ekonomi selain memiliki pembabitan meluas di luar negara.

"Selama beberapa hari selepas berakhirnya Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU15), negara masih belum memiliki kerajaan disebabkan keadaan Parlimen tergantung kerana tiada parti politik memiliki majoriti untuk membentuk kerajaan.

"Namun, segala kegusaran berakhir dengan pengumuman Istana Negara mengenai Perdana Menteri yang baharu. Kami jangkakan momentum bagi pasaran saham tempatan akan kekal positif," katanya.

Bursa Malaysia meningkat dalam dagangan awal semalam apabila pelabur mengalu-alukan berita positif daripada mesyuarat Fed pada November, dengan pegawai bank pusat AS itu bersetuju bahawa kadar kenaikan kadar faedah yang lebih perlahan berkemungkinan adalah lebih wajar.

Pada rehat tengah hari, FBM KLCI mengakhiri sesi pagi dengan kukuh, dengan indeks utama meningkat 2.01 peratus berikutan momentum belian yang berterusan dalam persekitaran sentimen pasaran yang lebih baik di peringkat tempatan dan luaran.

Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade, Thong Pak Leng berkata, sokongan belian berkemungkinan daripada institusi tempatan, membolehkan indeks berakhir kukuh hari ini.

Daripada aspek politik, katanya keputusan UMNO untuk menyokong cadangan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengenai kerajaan perpaduan berpotensi untuk menamatkan kebuntuan politik yang berlaku dan ini boleh menyuntik keyakinan dalam bursa tempatan.

Penganalisis Ekonomi Putra Business School, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff pula berkata, pelabur mengharapkan kepastian dan kestabilan berikutan pelantikan Anwar sekali gus memberi petanda baik kepada prospek ekonomi.

"Akan ada pergerakan menaik bagi Bursa Malaysia dalam tempoh jangka pendek. Namun begitu, ringgit mungkin masih tertakluk kepada faktor luaran dan bukannya kerana pelantikan ini.

"Dasar ekonomi segera beliau (Anwar) adalah untuk mempercepatkan pembentangan dan kelulusan Bajet 2023 menjelang bulan depan," katanya.

Pengarah dan Ketua MIDF Research, Imran Yassin Md Yusof, berkata firma penyelidikan itu menjangkakan prestasi memberangsangkan pasaran saham ketika ini adalah disebabkan faktor luaran di mana Fed dijangka akan mengurangkan kenaikan kadar faedah daripada 75 mata asas sebelum ini kepada 50 mata asas pada Disember.

Katanya, jangkaan itu telah mengurangkan tekanan penilaian kepada aset risiko.

"Ini bersandarkan minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) yang menunjukkan ahlinya membuat kesimpulan awal bulan ini bahawa Fed AS perlu menyederhanakan kadar kenaikan kadar faedah tidak lama lagi untuk mengurangkan risiko pengetatan keterlaluan.

"Kami dapat lihat prestasi memberangsangkan pasaran saham serantau. Kami menjangkakan penyelesaian situasi politik juga menjadi satu lagi faktor yang berganding dengan faktor luaran dengan menghilangkan satu ketidaktentuan di pasaran.

"Namun, kita juga memerhati bahawa pasaran boleh dikatakan berdaya tahan beberapa hari ini walaupun berhadapan dengan situasi politik yang tidak menentu," katanya.

Sementara itu, mata wang tempatan turut menunjukkan impak positif daripada dua pengumuman penting, apabila mengukuh ketara sepanjang dagangan hari ini.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini