Nilai ringgit terus meningkat - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Nilai ringgit terus meningkat


KUALA LUMPUR: Nilai ringgit dibuka lebih tinggi sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini dengan berita mengenai pembukaan semula China masih berlegar dalam pasaran modal Malaysia dan ini mencetuskan beberapa aktiviti dalam pertukaran asing Asia yang lain, kata penganalisis.

Pada jam 9 pagi, mata wang tempatan menambah nilai kepada 4.5915/5965 berbanding dolar AS daripada 4.5925/5980 pada penutupan urus niaga Isnin.

Bagaimanapun, Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata pada dagangan semalaman di New York, peniaga dilihat menghentikan seketika penjualan dolar selepas pengumuman indeks harga pengguna AS minggu lalu.

Sementara itu, peniaga ActivTrades, Dyogenes Rodrigues Diniz, berkata dolar AS kehilangan lebih tiga peratus berbanding ringgit sejak minggu lalu.

Pergerakan menurun itu datang sebagai tindak balas pasaran semula jadi selepas pergerakan kenaikan harga yang berpanjangan bagi mata wang AS, yang telah mendapat tempat yang kukuh sejak Disember 2020, katanya.

"Dari sudut teknikal, dolar AS berada dalam zon yang sangat terlebih beli dan menguji tahap tertingginya sejak 1998. Dalam beberapa hari akan datang, ada kemungkinan dolar AS akan melantun dan meningkat berbanding ringgit kepada 4.6300 sebelum kembali bergerak turun," katanya.

Di pasaran tempatan, ringgit diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama yang lain kecuali berbanding dolar Singapura.

Ringgit menambah nilai berbanding yen Jepun kepada 3.2708/2746 daripada 3.2738/2782 pada hari Isnin dan mengukuh berbanding euro kepada 4.7375/7427 daripada 4.7381/7438 semalam.

Mata wang tempatan turut meningkat nilainya berbanding pound Britain kepada 5.3932/3990 daripada 5.4187/4252 pada penutup Isnin tetapi menyusut nilai berbanding dolar Singapura kepada 3.3446/3488 daripada 3.3405/3450 sebelum ini.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini