Ringgit dijangka semakin mengukuh minggu depan - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dijangka semakin mengukuh minggu depan

 

KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka lebih mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan berikutan kekurangan data menunjukkan negara maju itu akan meraih pulangan hasil memberangsangkan bagi mendorong pergerakan mata wangnya.

Pada masa sama, perkembangan membabitkan perubahan dasar sifar COVID-19 China pula dilihat sebagai pemacu utama pergerakan ringgit, kata penganalisis.

Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata ringgit dijangka diniagakan dalam julat RM4.60 berbanding dolar AS pada minggu depan.

"Sebarang rangsangan lanjut terhadap dolar AS mungkin hanya persepsi pada masa ini. Kita juga perlu berhati-hati dengan ketidaktentuan dalam tempoh-tempoh menjelang akhir tahun ini," katanya kepada Bernama.

"Bagaimanapun, pengumuman mengenainya akan memberi impak positif terhadap ringgit kerana pihak bank misalnya dapat mengalihkan keutamaan kepada dasar pertumbuhan berbanding dasar membendung inflasi," katanya.

Pada Jumaat, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 14.2 peratus pada suku ketiga 2022, dipacu oleh pengembangan berterusan dalam permintaan domestik, pemulihan kukuh pasaran pekerja, eksport produk elektrikal dan elektronik (E&E) dan bukan E&E yang teguh serta sokongan dasar yang berterusan.

Dalam pada itu, seorang lagi penganalisis yakin pihak Rizab Persekutuan (Fed) AS akan mengambil pendekatan lebih sederhana ke atas kadar faedah susulan angka inflasi negara maju itu yang lebih rendah daripada jangkaan awal.

Mengikut data yang dikeluarkan pada Khamis, indeks harga pengguna meningkat 7.7 peratus tahun ke tahun namun lebih rendah daripada 8.2 peratus pada bulan lalu.

Sementara itu, bagi perbandingan mingguan, ringgit naik 2.65 peratus kepada 4.6200/6250 berbanding dolar AS pada Jumaat daripada paras 4.7460/7495 pada minggu sebelumnya.

Bagi tempoh Jumaat hingga Jumaat, ringgit diniagakan lebih rendah berbanding kelompok mata wang utama lainnya.

Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.3527/3568 daripada 3.3517/3546 pada akhir minggu lalu dan lebih rendah berbanding yen Jepun kepada 3.3047/3088 daripada 3.2111/2137 pada minggu sebelumnya.

Unit tempatan itu susut berbanding pound Britain kepada 5.4322/4381 daripada 5.3231/3270 serta rendah berbanding euro kepada 4.7471/7522 daripada 4.6383/6417.


Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini