Ringgit kembali rendah berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit kembali rendah berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit tidak berupaya meneruskan peningkatannya apabila ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada akhir urus niaga Khamis susulan aktiviti pengambilan untung, kata peniaga.

Pada 6 petang, unit tempatan itu susut pada paras 4.6950/6990 berbanding dolar AS daripada 4.6885/6950, semalam.

Pengarah Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata penjualan ringgit dan tukaran asing Asia (FX) berkemungkinan turut memaparkan jangkaan Indeks Harga Pengguna (IHP) AS yang lebih rendah.

"IHP itu menjadi tumpuan utama dan ramai menjangkakan ringgit akan memberi reaksi positif terhadap jangkaan inflasi AS di bawah paras lapan peratus," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, pelabur juga masih gelisah susulan perkembangan membabitkan kemerosotan mata wang kripto, unjuran pilihan raya penggal pertengahan AS yang gagal menjadi kenyataan serta kemelut COVID-19 yang tidak berkesudahan di China.

"Keadaan di China itu lebih memberi kesan besar terhadap FX Asia apabila kes-kes jangkitan baharu COVID-19 hanya menyukarkan pembukaan semula China dalam masa terdekat," katanya.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding kumpulan mata wang utama.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.3459/3490 daripada 3.3513/3562 pada Rabu dan naik berbanding yen kepada 3.2048/2077 daripada 3.2159/2208.

Unit tempatan itu juga mengukuh berbanding euro kepada 4.6781/6821 daripada 4.7101/7177 semalam dan meningkat berbanding pound kepada 5.3387/3432 daripada 5.3651/3725, sebelum ini. 

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini