Ringgit melonjak semula kepada RM4.44 berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers
InstaForex

Ringgit melonjak semula kepada RM4.44 berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit mengakhiri urus niaga hari ini dengan lebih mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), didorong oleh minat belian baharu serta sentimen susulan pengumuman China melonggarkan sekatan berkaitan COVID-19, kata peniaga.

Pada 6 petang, mata wang tempatan mengukuh kepada 4.4420/4500 berbanding dolar AS daripada paras 4.5060/5130 pada akhir semalam.

Pengarah Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata ringgit dan baht Thailand adalah dua mata wang serantau yang mencatat prestasi baik susulan pengumuman China itu.

Malah, perubahan pendekatan Beijing berbanding pendirian keras sifar COVID-19 sebelum ini juga mempengaruhi kedua-dua mata wang itu mencatat peningkatan pada minggu ini.

"Namun, ringgit terus mencatat perkembangan ketara berikutan keadaan politik dalam negara yang dilihat lebih jelas hala tujunya," katanya kepada Bernama.

Innes berkata, peniaga Malaysia juga yakin bahawa inflasi keseluruhan AS akan susut dalam tempoh sebulan dua lagi ketika andaian mengenai risiko kenaikan kadar feadah juga telah mereda.

"Oleh itu, kemungkinan Fed melaksanakan langkah yang kurang agresif terus meyakinkan pelabur dan seiring dengan pandangan untuk mengurangkan pegangan dolar AS sehingga akhir tahun. Ini akan hanya menguntungkan ringgit," katanya.

Berdasarkan prospek China yang semakin pulih, beliau berkata tukaran asing kini lebih menumpukan ringgit yang dijangka menarik minat ramai ketika sektor perdagangan dan pelancongan China terus meningkat.

Perkembangan pasaran hartanah di China juga dijangka menjadi perangsang bagi membantu pengeksport komoditi seperti ekonomi Malaysia untuk pulih dengan lebih pantas.

"Saya tidak terkejut sekiranya ringgit mampu diniagakan sekitar RM4.30 sebelum ahir tahun ini susulan perkembangan yang mencatat dinamik itu," katanya.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding kelompok mata wang utama lain.

Ringgit naik berbanding pound Britain kepada 5.3366/3467 daripada 5.4004/4088 pada akhir urus niaga dan mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.2487/2551 daripada 3.2804/2860.

Berbanding euro, ringgit naik kepada 4.6010/6098 daripada 4.6705/6777 serta meningkat berbanding yen kepada 3.2007/2067 daripada 3.2614/2677.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini