Ringgit mengukuh dua hari berturut-turut - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit mengukuh dua hari berturut-turut


KUALA LUMPUR: Ringgit mengakhiri urus niaga Selasa dengan mencatat pengukuhan kecil berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), di tengah-tengah prestasi bercampur-campur di peringkat pasaran tukaran asing Asia.

Pada 6 petang, mata wang tempatan meningkat kepada 4.7340/7385 berbanding dolar AS daripada paras 4.7385/7420, semalam.

Pengarah Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata ringgit mencatat peningkatan pada awal urus niaga hari ini, namun susut kemudiannya selepas laporan mengenai daerah di Guangzhou, China, bertindak melaksanakan pelbagai peringkat sekatan dan perintah berkurung.

"Ini menjejaskan harapan mengenai kemungkinan China melakukan perubahan dalam dasar sifar COVID bagi tempoh terdekat ini.

"Ringgit juga diniagakan dalam julat kecil menjelang pilihan raya penggal pertengahan AS, tetapi apa lebih penting adalah tumpuan ke atas data Indeks Harga Pengguna (IHP) AS," katanya kepada Bernama.

Malah, beliau menyifatkan IHP berkenaan sebagai data paling utama untuk hala tuju keputusan mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS (FOMC) pada Disember ini bagi penentuan kadar faedah akan datang.

"Ini adalah petunjuk sensitif bagi FOMC bagi keputusan mengenai kadar faedah. Oleh itu terdapat banyak keraguan mengenai kedudukan dolar AS berbanding ringgit dari segi data," katanya.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan rendah berbanding kelompok mata wang utama lain.

Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.3744/3781 daripada 3.3731/3761 pada Isnin dan rendah berbanding yen Jepun pada 3.2371/2404 daripada 3.2303/2329, sebelum ini.

Unit tempatan itu juga susut berbanding euro kepada 4.7345/7390 daripada 4.7323/7358 dan turun berbanding pound Britain kepada 5.4389/4441 daripada 5.4227/4267.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini