Ringgit terus susut, RM4.73 berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit terus susut, RM4.73 berbanding dolar AS

 


KUALA LUMPUR: Ringgit terus menyusut nilai untuk dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pagi ini apabila pelabur mengambil sikap berhati-hati menjelang keputusan Rizab Persekutuan AS (Fed) mengenai kadar faedah selain harga minyak mentah yang lemah.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan turun kepada 4.7310/7350 berbanding dolar AS daripada penutupan Isnin pada 4.7260/7300.

Peniaga ActivTrades, Dyogenes Rodrigues Dini, berkata dolar AS semakin tinggi tetapi ketidaktentuan berterusan dalam pasaran apabila pelabur menunggu lebih banyak petunjuk mengenai perkembangan dasar monetari terkini di AS.

"Fed dijangka mengumumkan keputusan kadar faedahnya pada hari Rabu dan kemungkinan pasaran akan kekal lengang sedikit daripada biasa sehingga pengumuman dibuat.

"Sesetengah penganalisis menunjukkan kemungkinan kadar kenaikan kadar faedah yang lebih perlahan, yang boleh menyebabkan dolar AS menyusut berbanding mata wang setaranya," katanya sambil menyatakan keputusan kadar faedah Malaysia dijadualkan pada Khamis.

Beliau menambah, Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) daripada 2.5 peratus kepada 2.75 peratus.

Harga minyak turun pada hari Isnin berikutan jangkaan pengeluaran AS akan meningkat dan data ekonomi China akan lemah.

Niaga hadapan minyak mentah Brent penanda aras global susut 0.98 peratus kepada AS$94.83 setong, manakala minyak mentah AS West Texas Intermediate (WTI) turun 1.6 peratus kepada AS$86.53 setong.

Kenanga Investment Bank Bhd berkata, peningkatan risiko politik selepas pembubaran parlimen pada 10 Oktober 2022, telah mendorong ringgit menyusut di bawah paras 4.70 buat kali pertama dalam tempoh lebih 24 tahun.

"Ringgit diunjur berlegar sekitar paras 4.72 hingga 4.77 berbanding dolar AS dalam tempoh dua minggu pertama bulan ini disebabkan ketidaktentuan politik, kenaikan kadar 75 mata asas berturut-turut Persekutuan dan yuan yang terus merosot.

"Selepas pilihan raya, mata wang tempatan diunjurkan mengukuh ke arah 4.66 menjelang akhir November," katanya dalam nota hari ini.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama, kecuali berbanding dolar Singapura.

Mata wang tempatan bertambah nilai pound Britain kepada 5.4312/4358 daripada 5.4647/4693 pada penutup Isnin dan meningkat berbanding yen Jepun pada 3.1809/1838 daripada 3.1833/1863.

Ia meningkat berbanding euro kepada 4.6766/6805 daripada 4.7000/7040 sebelum ini.

Bagaimanapun, ia turun berbanding dolar Singapura kepada 3.3430/3463 daripada 3.3409/3439 pada Isnin.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini