Definisi dan Contoh Pelan Perdagangan Forex - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Definisi dan Contoh Pelan Perdagangan Forex


Perdagangan mempunyai beberapa tahap kerumitan, bermula daripada yang paling mudah, seperti membeli dan menjual aset rawak, sehinggalah kepada yang lebih komprehensif, dengan pengurusan risiko, masa, dan objektif yang disengajakan. Digabungkan, ia sudah menjadi satu kemestian bagi setiap pedagang yang berjaya, jadi kami memutuskan untuk menjelaskan semua yang anda perlu tahu tentang peraturan-peraturan yang perlu anda patuhi untuk berdagang dengan baik.

Apakah itu pelan perdagangan

Pelan perdagangan adalah satu set peraturan yang perlu diikuti oleh pedagang untuk mencapai objektif mereka. Ia termasuklah masa, toleransi risiko, saiz pesanan, dan titik masuk/keluar. Selain itu, pelan perdagangan sering menggariskan bagaimana pedagang akan menguruskan posisi aktif, sekuriti apa yang boleh mereka dagangkan, dan banyak peraturan berguna lain.

Sesetengah orang mungkin berfikir mereka tidak memerlukan pelan perdagangan untuk berprestasi dengan baik. Dalam sesetengah kes, pedagang bernasib baik bahkan berjaya mencatat keuntungan secara berturut-turut untuk satu tempoh. Walau bagaimanapun, berdagang tanpa pelan perdagangan biasanya membawa kepada kerugian yang teruk kerana pedagang sukar mengawal emosi ketika pasaran mengalami kemeruapan yang melampau atau selepas beberapa siri kemenangan/kerugian.



Pakar-pakar perdagangan mengesyorkan agar pedagang berdagang di akaun demo sehingga pelan perdagangan siap digubal. Dengan cara ini, anda akan dapat mengumpulkan data yang mencukupi tentang perdagangan, tanpa pelan, untuk memahami kepentingannya.


Memahami pelan perdagangan

Pelan perdagangan menggabungkan pelbagai peraturan perdagangan dan mengandungi algoritma yang anda perlu ikuti. Oleh itu, matlamat asas suatu pelan adalah untuk membantu anda mencapai matlamat peribadi anda dalam perdagangan. Katakanlah matlamat №1 anda adalah untuk mengelakkan dari mencatat kerugian yang teruk. Kemudian, pelan perdagangan anda harus mengandungi satu fasal yang menggariskan bahawa anda harus berhenti berdagang dan berehat selepas satu siri urusniaga yang berkesudahan buruk. Anda juga boleh menukar strategi perdagangan anda sekiranya berlaku kerugian secara berpanjangan, dan ia boleh dijadikan sebahagian daripada pelan perdagangan anda.

Tidak salah jika pelan perdagangan agak panjang dan mengandungi pelbagai spesifikasi yang berbeza. Namun, pelan perdagangan yang ringkas dan mudah tidak semestinya tidak bagus. Jika anda membuat pelaburan jangka panjang, anda boleh menghadkan amaun wang yang anda bersedia untuk laburkan setiap bulan, jangkaan pulangan anda, dan tindakan-tindakan anda sekiranya kerugian berlaku secara berpanjangan. Pelan ini akan berfungsi dengan baik, terutamanya di pasaran saham global, yang cenderung untuk tumbuh dari masa ke masa. Namun begitu, pelan perdagangan ini tidak mempunyai had masa, yang bermaksud ada kemungkinan pedagang akan mengekalkan pegangan aset selama bertahun-tahun atau bahkan beberapa dekad sebelum anda dapat melihat sebarang keuntungan.

Sebaliknya, pedagang swing dan intrahari mempunyai pelan yang panjang yang merangkumi pelbagai spesifikasi rutin perdagangan. Dengan adanya pelan, pedagang boleh menentukan sama ada suatu urusniaga berbaloi atau tidak, mengambil suatu tindakan dan mengawal hasilnya ke tahap yang maksimum. Sekalipun jika suatu urusniaga itu bergerak ke arah yang salah, dengan pelan perdagangan, anda boleh meminimumkan risiko.


Contoh pelan perdagangan

Rajah di bawah adalah contoh pelan perdagangan yang berasaskan trend. Perhatikan bahawa pelan ini tidak memasukkan banyak unsur yang penting seperti masa, pengurusan risiko, titik keluar, rangka masa, dan jenis aset. Walau bagaimanapun, contoh ini adalah satu titik permulaan yang baik.


Pelan perdagangan harus menjadi rujukan yang bersifat semua dalam satu, yang tuntas, atau komprehensif. Kami mencadangkan agar anda memasukkan sebanyak mungkin butiran ke dalam pelan anda kerana keputusan anda akan ambil akan bergantung padanya. Jika anda berada dalam situasi yang goyah, pelan perdagangan anda perlu sentiasa mempunyai arahan yang anda akan ikuti.


Berikut adalah unit-unit pelan perdagangan yang disediakan dengan baik dan komprehensif:

Rutin pra-pasaran. Apa yang anda lakukan sebelum perdagangan bermula? Mungkin anda membaca semua berita terkini dan memutuskan aset apa yang anda akan pilih untuk hari ini? Atau adakah anda meninjau setiap aset yang anda dagangkan dan menandakan aras-aras sokongan dan rintangan? Dalam kedua-dua kes, rutin pra-pasaran membantu anda menumpukan perhatian pada perdagangan dan membuang semua hal lain yang boleh mengganggu fokus anda. Membangunkan rutin yang anda patuhi untuk membina disiplin dan konsistensi, dan menggariskannya dalam pelan perdagangan anda. Kemudian, ikuti rutin ini setiap hari.

Rangka masa. Perdagangan di rangka masa yang lebih besar berbeza daripada scalping atau perdagangan intrahari yang bersifat jangka pendek. Sesetengah strategi perdagangan, seperti 'Gap dan Go', cenderung berfungsi dengan lebih baik pada rangka masa kecil M5-M15, manakala yang lain, seperti perdagangan trend, berfungsi dengan lebih baik di H4-MN (satu bulan). Ini tidak bermakna anda akan kehilangan wang anda jika anda cuba untuk memburu trend di rangka masa M5, tetapi ia cara yang lebih sukar, terutamanya di pasaran Forex, di mana pergerakan mendatar (sideways) adalah yang paling sering dilihat. Sila maklum bahawa sesetengah pedagang menggunakan setiap rangka masa dan tidak menemui apa-apa perbezaan antara perdagangan di M5 dan H4. Jika anda salah seorang dari mereka, anda boleh melangkau langkah ini dan beralih ke langkah yang seterusnya.

Pengurusan risiko. Terus terang kami katakan, ia adalah elemen yang penting kerana pengurusan risiko yang betul akan melindungi anda daripada kehilangan semua wang anda dalam satu hari yang buruk dan membawa strategi perdagangan anda ke tahap yang lebih baik.

Untuk mempertingkatkan kualiti pengurusan risiko anda, anda perlu memperuntukkan had maksimum drawdown & kerugian harian yang mana setelah had tersebut dicapai anda wajib berhenti berdagang dan mula menganalisis kesilapan anda. Biasanya, pedagang memperuntukan drawdown harian sebanyak 5-10%, dan sekiranya ia dicapai mereka akan berhenti membuka urusniaga baru pada hari tersebut.

Selain itu, pedagang juga harus menentukan berapa nilai maksimum kerugian yang beliau redha untuk tanggung dalam satu urusniaga. Bagi saya, ia 3% daripada modal per urusniaga, tetapi pedagang yang lebih konservatif sering berpegang pada angka 1% daripada modal per urusniaga. Ini bermakna anda perlu mengalami 100 urusniaga buruk berturut-turut sebelum akaun anda jadi licin dan kering kontang, dan anda tak akan pernah mengalami 100 kerugian berturut-turut jika strategi perdagangan anda memang menguntungkan.

Akhir sekali, adalah lebih baik jika anda mempunyai nisbah 'risiko berbanding ganjaran' (risk to reward) yang lumayan. Nisbah R/R mengukur jangkaan pendapatan dan kerugian dalam pelaburan dan perdagangan. Saya mencadangkan nisbah R/R sekurang-kurangnya 1:1.5. Dengan cara ini, potensi kerugian anda dalam setiap perdagangan adalah X, dan keuntungan anda adalah 1.5X. Walau bagaimanapun, pedagang yang tidak menetapkan aras Renti Rugi dan Ambilan Untung terlebih dahulu boleh melangkau bahagian ini jika pelan perdagangan mereka membenarkannya.

Tentukan sama ada anda akan berdagang di dalam trend atau julat (range). Terdapat perbezaan yang besar di antara keduanya. Pedagang trend mungkin membiarkan posisi terus aktif lebih lama kerana trend cenderung untuk berterusan. Oleh itu, para pedagang ini mungkin akan mencatat keuntungan yang lebih besar dengan risiko yang lebih sedikit. Sebaliknya, pedagang julat lebih banyak meraih manfaat daripada pergerakan yang mendatar dan pengukuhan harga.

Jenis pasaran. Pasaran saham dibuka hanya pada jam-jam tertentu, dan anda mesti berada di hadapan platform perdagangan anda tepat pada masanya setiap hari bekerja. Pasaran matawang kripto didagangkan 24/7, dan anda tidak patut membiarkan pesanan anda tanpa Renti Rugi lantaran kerana kemeruapannya yang tinggi. Pasaran Forex dibuka 24/5 (tanpa hujung minggu), tetapi kemeruapannya lebih rendah. Namun semua itu belum mengambil kira pelbagai peristiwa makroekonomi yang mempengaruhi pasaran-pasaran ini. Pilih yang mana sahaja yang anda paling suka: adalah lebih mudah untuk dagangkan aset yang anda minati.

Anda perlu mencari gerakan-gerakan yang sama di pasaran dan membuka posisi hanya jika ia menepati apa yang telah ditulis dalam pelan perdagangan anda. Terdapat beberapa pilihan untuk titik masuk:

Pullback adalah tempat yang sesuai untuk membeli sekiranya trend sedang naik.

Penembusan tulen (real breakout) sesuai untuk mereka yang mahukan pengesahan pergerakan yang lebih meyakinkan. Walau bagaimanapun, anda harus awas dengan penembusan palsu (false breakout).

Jika anda menggunakan indikator teknikal dalam perdagangan anda, seperti MACD, anda boleh memasuki pasaran apabila garisan indikator bersilang.

Anda boleh mencipta signal masuk anda sendiri. Sebagai contoh, ia mungkin capahan (divergence) pada osilator RSI, penyentuhan aras pengunduran (retracement) Fibonacci, atau pola-pola candlestick. Namun, adalah lebih baik untuk memasuki pasaran berdasarkan lebih dari satu sebab dan jangan hanya bergantung pada satu pola atau indikator teknikal sahaja.

Renti Rugi Setiap pedagang mesti mempunyai pelan tindakan jika keadaan menjadi buruk. Anda boleh menetapkan Renti Rugi sebelum memasuki pasaran dan lupakan carta setelah pesanan dibuka. Sebaliknya, anda juga boleh memantau posisi anda dan memutuskan di mana dan bila anda mahu keluar daripadanya. Pendekatan ini lebih berisiko kerana anda boleh membuat keputusan yang didorong oleh emosi dan rugi walaupun urusniaga anda berpotensi untuk memberikan keuntungan.

Ambilan Untung. Jika anda mempunyai nisbah risiko kepada ganjaran, kedudukan Ambilan Untung anda lebih jauh daripada Renti Rugi anda. Walau bagaimanapun, anda boleh menutup sebahagian daripada posisi anda di sasaran pertama dan kemudian menganjakkan Renti Rugi anda ke titik pulang modal. Dengan cara ini, perdagangan anda menjadi bebas risiko, dan anda boleh mengekalkannya lebih lama, meningkatkan potensi keuntungan anda.

Gambarajah di bawah akan membantu menjelaskan cara-cara membina pelan perdagangan.


Pelan perdagangan Taktikal atau Aktif

Ramai pelabur menggunakan pelaburan automatik untuk melaburkan sejumlah wang tertentu setiap bulan ke dalam dana amanah atau aset-aset lain. Pelan perdagangan sedemikian disebut sebagai automatik. Walaupun proses ini berjalan dengan sendirinya, ia masih perlu ditulis sebagai satu pelan.

Jika rancangan perdagangan menggariskan keadaan di mana anda akan mencari entri, rancangan tersebut dipanggil taktikal atau aktif. Tidak seperti pelaburan automatik, di mana pelabur membeli sekuriti pada selang waktu yang tetap, pedagang taktikal biasanya masuk dan keluar posisi pada aras harga tertentu atau hanya apabila syarat tertentu dipenuhi. Lantaran itu, pelan perdagangan aktif jauh lebih terperinci.

Pedagang taktikal membuka urusniaga hanya setelah mereka melihat satu set pencetus (trigger) berlaku. Sesetengah daripadanya berbentuk signal indikator teknikal, bias statistik, atau pengumuman ekonomi. Oleh itu, bab “Contoh pelan perdagangan” akan mengupas tentang pelan taktikal kerana ia lebih sesuai untuk pedagang.

Mengubah suai pelan perdagangan

Pelan perdagangan yang bagus tidak perlu diubah untuk satu tempoh yang lama. Biasanya, ia meliputi semua situasi yang anda mungkin akan hadapi semasa bekerja dengan pasaran. Oleh itu, anda tidak wajar mengubah pelan perdagangan anda apabila anda rugi berturut-turut atau melalui hari yang sangkak (kerja serba tidak menjadi) kerana pelan perdagangan anda mengandungi maklumat tentang bagaimana untuk bertindak dalam situasi seperti itu.

Namun, sebagai pedagang, kita mesti meningkatkan prestasi dan berusaha untuk membangunkan kemahiran dan pengetahuan kita. Oleh itu, jika anda sudah mencapai satu tahap yang lebih tinggi di mana pelan perdagangan lama anda sudah tidak sesuai lagi, mempertingkatkannya atau mencipta pelan baru yang mencerminkan perspektif pasaran terkini adalah tindakan yang bijak. Perhatikan bahawa anda harus menjauhkan diri daripada perdagangan sehingga pelan perdagangan baharu siap dan sedia untuk digunakan.

Sekatan perdagangan

Peraturan yang paling penting bagi mana-mana pelan perdagangan adalah mematuhinya. Anda perlu memperincikan setiap langkah yang anda lakukan untuk meraih keuntungan. Selain itu, jika pelan perdagangan anda berdasarkan indikator teknikal, anda boleh menjadikannya satu strategi perdagangan algoritma. Sebagai contoh, anda boleh mencipta robot yang mengikuti setiap langkah di dalam pelan anda, membuka dan menutup urusniaga, dan bahkan berhenti berdagang apabila ia rugi berturutan.

Seksyen pengurusan risiko di dalam pelan perdagangan anda perlu merangkumi tindakan yang anda ambil sekiranya berlaku kerugian yang ketara. Selepas beberapa siri urusniaga yang gagal, adalah lebih baik jika anda berhenti berdagang dan berehat daripada pasaran. Tindakan terbaik yang boleh anda lakukan dalam kes ini adalah untuk menganalisis apa yang berlaku. Jika anda membuat kesilapan yang membawa kepada kerugian, tuliskannya dalam jurnal perdagangan anda dan cuba elakkannya pada masa hadapan. Jika anda tidak membuat sebarang kesilapan dan pasaran bertindak tidak seperti yang diramalkan, menikmati secawan teh atau kopi dan berehat sudah mencukupi.

Perbezaan antara pelan perdagangan dan sistem perdagangan

Sistem perdagangan adalah satu set peraturan yang merumuskan signal beli dan jual tanpa sebarang unsur yang subjektif. Secara ringkas, sistem perdagangan menentukan dengan tepat bagaimana anda memasuki perdagangan. Bagaimana anda memecah-mecahkan (split) dagangan anda, dan adakah anda memang tidak memecahkan dagangan? Adakah anda akan membeli sekarang atau menunggu lebih lama sedikit? Sistem perdagangan tahu jawapannya.

Oleh itu, pelan perdagangan lebih daripada sekadar sistem yang memberitahu anda bila untuk masuk dan keluar daripada perdagangan. Ia ibarat buku resipi untuk semua keperluan perdagangan anda dan situasi yang anda mungkin akan tempuhi dalam penerokaan perdagangan anda.

Kesimpulan

Pelan perdagangan mentakrifkan lebih daripada sekadar titik masuk dan keluar. Ia satu set peraturan yang komprehensif yang memberikan anda jawapan bagi setiap rutin perdagangan anda. Tiada pedagang yang berjaya tanpa pelan perdagangan yang betul; jadi adalah lebih baik jika anda mencipta sendiri pelan anda berpandukan artikel ini.


SOALAN LAZIM

Mengapa pelan perdagangan penting?

Pelan perdagangan memberikan anda jawapan tentang tindakan yang harus anda lakukan dalam pelbagai situasi yang berbeza. Tanpanya, peluang anda untuk berjaya di pasaran kewangan jauh lebih rendah.

Apa yang perlu ada di dalam pelan perdagangan?

Pelan perdagangan harus merangkumi rutin pra-pasaran, rangka masa, pengurusan risiko, situasi perdagangan, jenis pasaran, titik kemasukan, serta aras Renti Rugi dan Ambil Untung.

Apakah itu pelan perdagangan dalam Forex?

Pelan perdagangan adalah satu set peraturan yang perlu diikuti oleh pedagang untuk mencapai objektif mereka. Ia termasuklah masa, toleransi risiko, saiz pesanan, dan titik masuk/keluar. Selain itu, pelan perdagangan sering menggariskan bagaimana pedagang harus menguruskan posisi, sekuriti apa yang mereka boleh dagangkan, dan pelbagai peraturan lain.

Apakah 'golden rule' dalam perdagangan?

Anda boleh membuat banyak wang jika anda konsisten, belajar daripada kesilapan anda, dan mengikuti teknik pengurusan risiko. Jangan lupakan perkara-perkara ini dan anda akan menikmati hasil yang baik.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini