Ringgit berupaya mengukuh ke paras RM3.95 sedolar tahun hadapan - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit berupaya mengukuh ke paras RM3.95 sedolar tahun hadapan


KUALA LUMPUR: Ketidaktentuan politik domestik yang kian reda serta jangkaan kemerosotan dolar Amerika Syarikat (AS) akan menyokong ringgit untuk mengukuh tahun depan dengan potensi mencecah paras sehingga RM3.95 sedolar, demikian kata penganalisis.

Penganalisis berkata, pembentukan kerajaan dalam tempoh yang singkat meskipun berdepan situasi Parlimen tergantung susulan tiada parti atau gabungan politik mendapat keputusan majoriti untuk membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) memberi kelegaan kepada pasaran.

Ketua Ahli Ekonomi Kumpulan dan Ketua Penyelidik AmBank Research, Dr Anthony Dass, berkata pihaknya telah membuat semakan semula terhadap unjuran ringgit berbanding dolar AS bagi akhir 2022 dan 2023.

Beliau berkata, bagi akhir 2022, pihaknya telah menaikkan unjuran ringgit berbanding dolar AS kepada RM4.25 hingga RM4.30 sedolar berbanding sebelum ini pada RM4.40 hingga RM4.45 sedolar.

"Sementara, bagi akhir 2023, ringgit dijangka pada paras RM3.95 hingga RM4.00 sedolar berbanding sebelum ini RM4.15 hingga RM4.20 sedolar berikutan keredaan kebisingan politik dan indeks dolar terus merosot daripada paras tingginya," katanya dalam nota penyelidikannya.

Sementara itu, Kenanga Research pula menjangkakan dalam beberapa minggu akan datang, ringgit mungkin akan terus meraih manfaat daripada langkah Rizab Persekutuan AS (Fed) yang kurang agresif dalam kenaikan kadar penanda arasnya.

Ia berkata, penyusutan indeks AS (DXY) sebanyak hampir lima peratus berikutan nada yang kurang agresif daripada Fed serta pengukuhan yuan sebanyak 2.5 peratus berbanding dolar AS berikutan keyakinan pembukaan semula China telah membantu ringgit mengukuh berbanding dolar daripada kerugian pada Oktober.

Katanya, di peringkat domestik, mata wang tempatan disokong oleh pembentukan kerajaan perpaduan selepas lima hari dalam kebuntuan susulan keputusan PRU15.

Ringgit juga, jelasnya, mendapat sokongan daripada kemungkinan kemasukan besar dana portfolio ke dalam bon kerajaan dan pasaran ekuiti.

"Dengan kestabilan politik Malaysia dan kelemahan bermusim dolar AS mungkin membantu mata wang tempatan mengukuh berbanding dolar.

"Oleh itu, kami telah menyemak semula unjuran ringgit berbanding dolar AS akhir 2022 dan 2023 dengan masing-masing kepada RM4.38 sedolar berbanding RM4.54 sedolar sebelum ini dan RM4.11 sedolar berbanding RM4.26 sedolar sebelum ini," katanya.

Bagaimanapun, Kenanga Research berkata, pusingan U dalam dasar COVID-19 China mungkin mengubah naratif kenaikan ringgit.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini