Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit terus ditutup rendah sedikit berbanding dolar AS untuk hari kedua berturut-turut.

Situasi ini berlaku berikutan menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Amerika Syarikat minggu depan dan kebimbangan yang semakin meningkat mengenai peningkatan kes Omicron di China, kata seorang penganalisis.

Pada 6 petang, mata wang tempatan itu turun sedikit kepada 4.3960/4000 berbanding dolar AS 4.3950/4000 ketika ditutup pada Rabu.

Bagaimanapun, Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata ekuiti, komoditi, mata wang komoditi dan pengeksport barangan pengguna dan perkhidmatan pelancongan China dan Asean boleh mendapat manfaat yang ketara sebaik sahaja China dibuka semula.

"Jika anda meminta saya memilih mata wang Asean yang akan mendapat manfaat dalam persekitaran itu, ia adalah ringgit tetapi terdapat kebimbangan jangka pendek mengenai peningkatan kes Omicron di China kerana dasar sifar COVID-nya semakin merosot," katanya kepada Bernama.

Oleh itu, beliau menjangkakan mata wang tempatan itu akan diniagakan tidak menentu sehingga mesyuarat FOMC minggu depan.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama ketika ditutup hari ini.

Ia susut berbanding pound Britain kepada 5.3504/3552 daripada 5.3320/3381 ketika ditutup pada Rabu dan turun berbanding euro kepada 4.6127/6169 daripada 4.6055/6108 semalam.

Mata wang tempatan itu turut merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.2381/2415 daripada 3.2323/2365 pada Rabu dan berkurangan berbanding yen Jepun kepada 3.2090/2121 daripada 3.1936/1974 sebelumnya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini