Ringgit lonjak 6.0 peratus pada November, prestasi bulanan terbaik sejak Mac 2016 - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit lonjak 6.0 peratus pada November, prestasi bulanan terbaik sejak Mac 2016


KUALA LUMPUR: Ringgit Malaysia mempamerkan prestasi cemerlang berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) bulan lalu dengan peratusan kenaikan 6.0 peratus iaitu daripada 4.728 pada awal November untuk ditutup pada 4.443 pada Rabu.

Ia adalah peratus kenaikan peringkat bulanan terbesar sejak Mac 2016 iaitu ketika mata wang tempatan mencatat kenaikan 7.38 peratus.

Di peringkat serantau, prestasi ringgit adalah kedua terbaik selepas won Korea yang secara umumnya mencatat kenaikan 8.69 peratus pada November 2022.

Bagi hari pertama dagangan Disember 2022, ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS selepas mata wang utama dunia itu merosot berikutan sentimen bank pusat AS yang kurang menyokong kadar faedah tinggi.

Kenangan Research berkata, kemerosotan nilai indeks dolar AS sebanyak 5.0 peratus adalah berikutan isyarat Rizab Persekutuan AS (Fed) yang kurang agresif telah membantu ringgit membalikkan sebahagian besar kerugiannya berbanding dolar AS.

Ia berkata, prestasi ringgit juga sebahagiannya disokong oleh perlantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10, selepas lima hari dalam kebuntuan susulan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), yang mana tiada parti politik atau gabungan bertanding berjaya meraih majoriti 112 kerusi menyebabkan Parlimen tergantung.

Katanya, pergolakan sosial yang berterusan di China, ditambah pula dengan ketidaktentuan pasaran global mungkin mengurangkan selera risiko pelabur dan mendorong ringgit untuk didagangkan sekitar paras RM4.45 hingga RM4.55 berbanding dolar AS pada Disember.

"Bagaimanapun, ringgit mungkin mendapat manfaat daripada kenyataan kurang agresif Fed baru-baru ini, kelemahan bermusim dolar AS dan kestabilan politik Malaysia," katanya dalam nota penyelidikannya.

Sementara itu, AmBank Research berkata, ringgit mengukuh 1.41 peratus kepada RM4.446 sedolar dan didagangkan antara RM4.513 dan RM4.444 sedolar.

Ia berkata, pada Oktober 2022, harga pengeluar Malaysia meningkat 4.0 peratus, berkurangan berbanding 4.9 peratus sebulan sebelumnya dan menunjukkan inflasi pengeluar terendah sejak Februari 2021.

Katanya, pada asas bulanan, harga pengeluar meningkat 0.1 peratus pada Oktober selepas susut 1.4 peratus pada September.

Data Indeks Harga Pengeluar (IHPR) terkini itu juga, jelasnya, adalah seiring dengan keredaan tekanan rantaian bekalan global serta caj fret dan harga komoditi.

"Dengan ringgit sedia untuk mengukuhkan, ini juga harus memperlahankan kadar kenaikan bil import. Kami jangka IHPR ke arah aliran kadar yang lebih rendah pada masa hadapan.

"Kami jangka ringgit akan berlegar antara paras sokongan RM4.410 dan RM4.420 sedolar, manakala paras rintangan pada RM4.490 dan RM4.500 sedolar," katanya.

Nilai ringgit menurun sebanyak 4.9 peratus berbanding dengan dolar AS pada suku ketiga 2022, sejajar dengan mata wang serantau yang menurun nilai pada purata 5.5 peratus.

Ia berikutan dolar AS yang terus kukuh susulan dasar monetari yang terus diperketat oleh Fed AS dan aktiviti penghindaran risiko yang lebih tinggi oleh pelabur disebabkan oleh prospek pertumbuhan global yang sederhana.

Namun begitu, pertumbuhan dalam negeri yang kukuh mengurangkan lagi tekanan luaran terhadap penurunan nilai ringgit.

Pada masa hadapan, walaupun pasaran kewangan domestik mungkin mengalami risiko turun naik yang lebih tinggi, limpahan kepada pengantaraan kewangan domestik dijangka dapat dibendung.

Ia disokong oleh kedudukan luaran Malaysia yang kukuh dan permodalan sistem perbankan yang teguh.

Pasaran sedang pesat membangun sensitif terhadap tinjauan kadar AS, berikutan pengetatan monetari yang agresif Fed AS tahun ini telah menyokong dolar, yang mana memberi tekanan terhadap mata wang lain termasuk ringgit.

Kebanyakan bank pusat di pasaran sedang pesat membangun Asia telah berusaha untuk mengikuti kenaikan kadar AS bagi mengehadkan risiko aliran keluar modal.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini