Ringgit terus susut hari kelima berturut-turut - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit terus susut hari kelima berturut-turut


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) untuk hari kelima berturut-turut hari ini, terjejas akibat daripada langkah mengetatkan lagi monetari yang bakal dilaksanakan oleh bank pusat global.

Pada jam 6 petang, mata wang tempatan berada pada 4.4375/4405 berbanding paras penutup 4.4315/4350 pada Selasa.

Rakan pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata ringgit dijangka diniagakan pada paras 4.30 berbanding dolar AS dalam suku pertama 2023 susulan jangkaan pembukaan semula secara rasmi China.

Beliau berkata, peningkatan hasil berdaulat selepas Bank of Japan (BoJ) mengejutkan pasaran dengan menghentikan Kawalan Keluk Hasilnya terus menjejaskan kenaikan ringgit meskipun jangkaan kelemahan dolar AS.

"Apabila hasil berdaulat meningkat, Sekuriti Kerajaan Malaysia turun dan dijangka berlaku bagi tempoh yang agak lama. Sentimen risiko global mampu menanganinya dan saya fikir kelemahan ringgit hanya sementara waktu sahaja," katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.2829/2856 daripada paras penutup 3.2816/2847 pada Selasa, turun berbanding yen Jepun kepada 3.3714/3740 daripada 3.3531/3565 sebelumnya dan jatuh berbanding pound Britain kepada 5.3880/3917 daripada 5.3834/3876.

Bagaimanapun, ia tinggi sedikit berbanding euro kepada 4.7113/7145 daripada 4.7133/7171 sebelumnya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini