Dolar AS mengukuh, ringgit susut sedikit - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Dolar AS mengukuh, ringgit susut sedikit


KUALA LUMPUR: Ringgit menyusut daripada peningkatan semalam untuk dibuka rendah hari ini berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) di tengah-tengah sentimen lebih kukuh terhadap dolar AS berikutan peniaga kekal berhati-hati menjelang mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) selama dua hari bermula esok.

Pada 9 pagi, ringgit menyusut kepada 4.3195/3235 berbanding dolar AS daripada 4.3150/3200 sewaktu ditutup pada Isnin.

Bagaimanapun, peniaga ActivTrades, Dyogenes Rodrigues Diniz berkata, ekonomi Malaysia mempamerkan angka yang baik dengan konsisten sekali gus menarik perhatian pelabur untuk memburu peluang di Asia Tenggara.

Kadar pengangguran di Malaysia berkurangan untuk tempoh beberapa bulan kebelakangan ini (3.6 peratus) manakala inflasi pada empat peratus.

Didorong oleh dasar monetari terhad yang dilaksanakan oleh Rizab Persekutuan AS (Fed) pada beberapa bulan kebelakangan ini, ringgit merosot kepada parasnya yang paling lemah berbanding dolar AS sejak 1998 iaitu pada 4.7475.

"Berikutan sifat kitaran pasaran, pergerakan meningkat baru-baru ini memberikan anjakan kukuh yang boleh memacu ringgit kepada 4.000 dalam tempoh beberapa bulan akan datang," katanya.

Di dalam negara, pasaran meramalkan MPC BNM akan terus meningkatkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas lagi kepada 3.0 peratus pada mesyuarat minggu ini.

Sementara itu, ringgit diniagakan lebih rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan merosot kepada 5.2685/2734 berbanding pound Britain daripada 5.2643/2704 sewaktu ditutup pada Isnin serta susut berbanding dolar Singapura kepada 3.2701/2736 daripada 3.2677/2720.

Ia rendah berbanding euro kepada 4.6767/6811 daripada 4.6693/6747 dan merosot berbanding yen Jepun kepada 3.3638/3672 daripada 3.3616/3658 sewaktu ditutup semalam.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini