Komputer Riba Perdagangan Intrahari Terbaik 2023 - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Komputer Riba Perdagangan Intrahari Terbaik 2023



Apakah spesifikasi komputer riba yang diperlukan untuk perdagangan intrahari anda?

Apabila membincangkan tentang keperluan untuk perdagangan yang berjaya, pedagang pro sering menyebut tentang kepentingan mempunyai alatan yang betul. Salah satu daripada alatan tersebut adalah komputer riba yang berkualiti. Pedagang memerlukan komputer riba yang bagus sama seperti mana pemandu F1 memerlukan kereta lumba yang bagus. Pemandu yang mahir mungkin mengetahui segala-galanya tentang teori dan amalan perlumbaan, tetapi semuanya tidak berguna jika mereka tidak mempunyai kereta untuk berlumba. Begitu juga halnya dengan perdagangan.

Perdagangan, iaitu perdagangan intrahari, khususnya, memerlukan sambungan yang stabil ke Internet dan platform perdagangan anda. Komputer riba anda harus mampu berfungsi secara berterusan dan membolehkan anda untuk beralih dari satu tetingkap ke tetingkap yang lain dengan cepat tanpa sebarang masalah.

Dalam artikel ini, anda akan pelajari tentang spesifikasi teknikal komputer riba untuk perdagangan intrahari yang berjaya, monitor tambahan dan mengapa anda mungkin memerlukannya untuk pengalaman perdagangan yang terbaik.

Komputer riba untuk perdagangan: spesifikasi teknikal

Keupayaan komputer riba anda untuk berfungsi dengan baik semasa perdagangan intrahari bergantung pada spesifikasi teknikalnya. Keupayaan ini pula bergantung pada komponen yang digunakan untuk membina komputer riba anda dimana setiap satu daripadanya mempunyai fungsinya yang tersendiri, dan anda perlu memastikan bahawa kesemua komponen itu memenuhi standard perdagangan supaya perdagangan anda lebih pantas dan produktif.

Kelajuan

Parameter pertama yang kita akan lihat ialah kelajuan. Seperti yang anda boleh bayangkan, komputer riba yang pantas adalah sangat penting dalam perdagangan intrahari, ini kerana jika anda lambat walaupun sesaat, anda mungkin akan mengalami kerugian. Justeru itu, anda perlu memastikan bahawa anda mempunyai CPU yang bagus.

Secara ringkasnya, CPU (central processing unit) adalah otak komputer riba anda. Ia bertanggungjawab untuk melaksanakan semua jenis arahan yang anda berikan kepada komputer riba anda. CPU yang bagus membolehkan anda membuka beberapa program sekaligus dan bertukar-tukar dari satu tetingkap ke tetingkap yang lain dengan lancar. Kebiasaannya, jika anda ingin membeli komputer riba untuk tujuan perdagangan intrahari, anda perlu mencari komputer dengan CPU sekurang-kurangnya 2.8 GHz.

GPU (unit pemprosesan grafik atau graphics processing unit)

Komponen lain yang perlu anda beri perhatian semasa memilih komputer riba ialah GPU (unit pemprosesan grafik). GPU yang bagus berperanan penting bagi membolehkan data dagangan pada skrin komputer riba anda boleh dilihat dengan baik. Walaupun GPU yang baik diperlukan untuk berkerja, membeli komputer riba dengan spesifikasi "gaming" yang mempunyai kad grafik terlalu canggih adalah berlebihan dan membazir.

Walaupun begitu, untuk persekitaran kerja yang selesa anda memerlukan GPU yang sedikit lebih baik daripada GPU biasa dengan VRAM yang lebih tinggi untuk resolusi yang lebih berkualiti. Kebanyakan pedagang menyatakan, NVIDIA GeForce dan AMD Radeon adalah pilihan yang baik untuk komputer riba perdagangan intrahari.

RAM (Random Access Memory)

RAM (Random Access Memory) adalah satu lagi komponen penting untuk memastikan perdagangan intrahari lancar dan pantas. RAM ialah memori komputer yang membolehkan beberapa program dan kerja dilaksanakan dalam satu masa yang sama. RAM membolehkan anda menggunakan pengimbas, melihat carta, bersembang serta membaca suapan berita sekaligus.

Sebab itulah pedagang harus sentiasa memberikan perhatian khusus kepada RAM semasa membeli komputer riba. Gaya perdagangan yang berbeza memerlukan jumlah RAM yang berbeza, ini bergantung pada bilangan aplikasi yang perlu dijalankan oleh pedagang secara serentak.

Jumlah RAM yang anda perlukan juga bergantung pada OS anda, jadi faktor ini juga harus dipertimbangkan. Tetapi untuk pilihan yang selamat, pedagang intrahari memerlukan RAM sekurang-kurangnya sebanyak 8GB, namun RAM sebesar 16GB akan membantu komputer riba anda berfungsi dengan lebih lancar.

Anda juga boleh menambah RAM sekiranya RAM anda tidak mencukupi, tetapi anda harus memastikan bahawa papan induk (motherboard) komputer riba anda mempunyai slot tambahan untuk menempatkan mikrocip RAM.

Anda boleh menguji sama ada RAM komputer riba anda mencukupi dengan membuka semua program yang biasa anda gunakan semasa berdagang sekaligus untuk melihat prestasi komputer anda. Jika semuanya berjalan lancar tanpa sebarang masalah, maka RAM yang anda ada sudah cukup untuk memenuhi keperluan semasa.

Storan

Storan adalah satu lagi aspek yang perlu anda berikan perhatian sebelum memulakan perdagangan. Anda perlu tahu bahawa jika anda memasang semua program dan aplikasi anda dari cakera keras (hard disk), ini akan menjadikan komputer riba anda perlahan dan lembab.

Pemacu cakera keras penting untuk membolehkan laptop berfungsi, tetapi ia mengambil masa yang panjang untuk mengisih maklumat. Itulah sebabnya anda perlu mempunyai SSD (solid-state drive). SSD yang berkualiti boleh mengurangkan masa yang diperlukan untuk komputer riba anda dibut (boot) dan membantu program anda berjalan dengan lebih pantas, satu faktor yang penting untuk perdagangan intrahari. Menggunakan pemacu luaran untuk menyimpan pelbagai fail juga boleh membantu mengosongkan lebih banyak ruang bagi mempercepatkan proses serta aktiviti perdagangan komputer riba anda.

Hayat bateri

Aktiviti perdagangan akan menggunakan sumber yang bukan sedikit dari laptop anda. Semua program ini memerlukan tenaga yang banyak, jadi anda sememangnya sudah sedia maklum bahawa komputer riba anda mestilah mempunyai bateri yang bagus. Semasa memilih komputer riba, pastikan ia mempunyai hayat bateri sekurang-kurangnya 8 jam. Jika tidak, anda mungkin tidak akan mencapai tahap produktiviti seperti yang anda inginkan.

Paparan

Ramai pedagang tidak begitu mengambil berat tentang paparan komputer riba mereka, dan ini merupakan satu kesilapan besar. Pedagang intrahari perlu memantau banyak maklumat dan carta secara serentak, jadi kualiti paparan adalah penting. Itulah sebabnya anda perlu memberi perhatian kepada resolusi paparan komputer riba yang ingin anda beli. Semasa memilih laptop untuk perdagangan, cari peranti dengan resolusi 1920 x 1080 dan saiz monitor yang selesa.

Port

Untuk mengoptimumkan pengalaman perdagangan, anda memerlukan banyak peranti tambahan, seperti pemacu tambahan, monitor, dsb. Itulah sebabnya komputer riba anda mesti mempunyai port yang mencukupi untuk menampung semua peranti anda. Sebelum membeli komputer riba, periksa sama ada ia mempunyai port HDMI (untuk monitor tambahan) dan beberapa slot USB.

Sambungan Wayarles

Walaupun pedagang secara umumnya bersetuju bahawa menyambungkan komputer riba anda ke modem melalui kabel adalah lebih baik berbanding menggunakan Wi-Fi, tidak semua orang boleh berbuat demikian. Itulah sebabnya ciri sambungan wayarles seperti Bluetooth dan Wi-Fi sangat diperlukan. Ini akan membantu anda untuk kekal bersambung ke Internet dan peranti lain serta memastikan perdagangan anda tidak terganggu.



Berapa Banyak Monitor yang Anda Perlukan?

Bagi sesetengah pedagang, beralih dari satu tetingkap ke tetingkap yang lain adalah pengalaman yang menjengkelkan. Itulah sebabnya ramai pedagang intrahari profesional menggunakan monitor tambahan untuk menjadikan maklumat penting yang diperlukan lebih mudah diakses.

Ini bukanlah bermakna anda perlu membeli sepuluh unit monitor. Tetapi kebiasaannya, pedagang intrahari menggunakan kira-kira empat buah monitor semasa mereka bekerja. Contoh setup perdagangan yang tipikal termasuklah:

1. monitor platform perdagangan;

2. monitor suapan berita/chat;

3. monitor carta;

4. monitor pengimbas.

Masalah utama jika anda menggunakan beberapa monitor sekaligus adalah sama ada jumlah port mencukupi untuk menyambungkannya ke PC/komputer riba anda. Sesetengah GPU mempunyai bilangan output monitor yang terhad. Jadi, jika anda bercadang untuk menggunakan beberapa monitor bila berdagang, pastikan komputer riba anda boleh menyokongnya.

Di Mana Anda Boleh Beli Monitor Tambahan

Harga monitor baharu agak mahal. Tambahan pula, harganya berganda-ganda jika anda ingin membeli beberapa set monitor sekaligus. Sebenarnya anda tidak perlu mencari monitor yang canggih seperti monitor dengan skrin ultralebar melengkung untuk digunakan sebagai alat perdagangan anda. Sebaliknya, anda boleh menggunakan gabungan beberapa monitor dengan harga mampu milik yang mempunyai resolusi yang lebih rendah atau anda juga boleh membeli peranti terpakai.

Kesimpulan

Memilih laptop atau komputer riba untuk perdagangan intrahari adalah perkara yang sangat penting. Anda tidak boleh mengemudi kapal dengan baik jika kapal itu rosak, begitu juga keadaannya dalam perdagangan, komputer riba yang kurang berkuasa tidak akan dapat membantu anda mencapai kejayaan dan keuntungan dalam perdagangan. Komputer riba dengan perkakasan yang mencapai standard moden akan membantu memberikan anda pengalaman perdagangan yang lebih baik.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini