Ringgit dijangka semakin kukuh minggu ini - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers
InstaForex

Ringgit dijangka semakin kukuh minggu ini


KUALA LUMPUR: Naratif pembukaan semula China yang berterusan dan sentimen ekonomi domestik yang bertambah baik berikutan keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus, akan menyokong ringgit minggu ini, kata seorang peniaga.

Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata China adalah pasaran eksport terbesar bagi kebanyakan ekonomi serantau dan berita positif daripada negara itu seharusnya meningkatkan prospek perdagangan dengan ketara.

"Saya menjangkakan kadar pertukaran dolar-ringgit Amerika Syarikat (AS) adalah antara 4.2650 dan 4.2950 minggu ini. Saya juga mungkin menyemaknya lebih tinggi kepada paras 4.00 bergantung kepada penggunaan China selepas pandemik dan kemajuan pasaran hartanah selepas Tahun Baharu Cina," katanya kepada Bernama.

Beliau menekankan bahawa Malaysia akan menjadi penerima manfaat yang besar memandangkan China adalah peratusan besar eksport Malaysia dan ia pasti akan menyokong mata wang tempatan.

Daripada segi domestik, Innes berkata premium risiko politik yang menjejaskan dalam mata wang sejak 2018 kini semakin berkurangan dan pengeksport Malaysia mengurangkan pegangan dolar AS, ringgit dijangka melonjak lebih tinggi.

"Justeru untuk minggu ini, pengeksport mungkin mengurangkan dolar AS berikutan kenyataan Presiden Rizab Persekutuan (Fed) Philadelphia, Patrick Harker supaya bank pusat AS bergerak ke kadar kenaikan kadar faedah yang lebih perlahan," katanya.

Ringgit mengakhiri minggu ini kebanyakannya ditutup lebih tinggi susulan sentimen pasaran lebih baik berikutan faktor domestik dan global.

Dari minggu ke minggu, ringgit mengukuh berbanding dolar AS pada 4.2830/2875 daripada 4.3325/3375 seminggu lalu.

Mata wang tempatan diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia lebih tinggi berbanding pound Britain pada 5.2861/2916 daripada 5.2973/3035, melonjak berbanding euro pada 4.6393/6442 daripada 4.6986/7040, meningkat berbanding yen Jepun pada 3.3073/3111 daripada 3.3703/3744 dan naik berbanding dolar Singapura pada 3.2386/2425 daripada 3.2782/2825.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini