Ringgit ditutup tinggi RM4.37 sedolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup tinggi RM4.37 sedolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit melantun semula untuk ditutup tinggi hari ini berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) susulan keyakinan terhadap pembukaan semula sempadan China, kata seorang peniaga.

Pada 6 petang, mata wang tempatan meningkat kepada 4.3720/3765 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.4005/4070 pada Jumaat minggu lalu.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata pusingan-U dalam dasar COVID-19 China penting kepada pertumbuhan ekonomi yang membawa kepada pengukuhan mata wang Asia.

"Dengan penarikan semula sekatan sempadan antara China, Hong Kong, Macau, dan pembukaan semula perjalanan antarabangsa, bukan hanya pengembara sahaja yang meraikannya tetapi juga pasaran pertukaran asing Asia.

"Kedua-dua mata wang Malaysia dan juga negara jiran Thailand, destinasi utama pelancong China diniagakan tinggi hari ini susulan pembukaan semula sempadan China," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Firdaos Rosli, berkata unit tempatan mendapat manfaat daripada indeks dolar yang rendah, yang susut ke paras 103 pada Jumaat, meskipun bayangan positif kenaikan dasar daripada minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC).

Beliau berkata, data pasaran pekerjaan AS yang positif juga membayangkan bahawa usaha Rizab Persekutuan AS (Fed) untuk menurunkan inflasi masih belum berjaya, walaupun inflasi negara itu telah menyederhana sejak pertengahan 2022.

Ditambah dengan prospek ekonomi jangka terdekat yang positif dan pertumbuhan gaji AS yang perlahan, Firdaos percaya sentimen berkenaan dijangka melimpah ke Malaysia yang seterusnya merangsang minat terhadap mata wang tempatan.

Pasaran akan memantau pengumuman angka inflasi AS yang dijadual diumumkan pada Khamis ini, katanya.

"Kami menjangka ia (inflasi) menyederhana di tengah-tengah penurunan harga minyak pada Disember yang akan mengurangkan kebimbangan terhadap laluan dasar monetari Fed.

"Bagi minggu ini kami mengunjurkan ringgit diniagakan antara paras RM4.37 hingga RM4.39," katanya.

Bagaimanapun, ringgit diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan turun berbanding pound Britain kepada 5.3124/3179 daripada paras penutup 5.2159/2336 pada Jumaat dan susut berbanding euro kepada 4.6636/6684 daripada 4.6254/6322.

Ringgit juga lemah berbanding dolar Singapura kepada 3.2793/2832 daripada 3.2664/2717 dan jatuh berbanding yen Jepun kepada 3.3009/3045 daripada 3.2739/2793 sebelumnya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini