Ringgit jatuh semula RM4.40 sedolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit jatuh semula RM4.40 sedolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari jumaat selepas mata wang negara maju itu mula mengukuh berikutan pengumuman data ekonomi AS yang positif.

Pada 6 petang jumaat, ringgit susut kepada 4.4005/4070 berbanding dolar AS daripada 4.3860/3915 yang direkodkan semalam.

Firma-firma AS melangkaui jangkaan apabila menambah 235,000 pekerjaan dalam sektor swasta pada Disember, manakala pengangguran merosot dalam data terbaharu itu, dengan laporan pasaran buruh yang lebih kukuh memberi bayangan kenaikan kadar faedah agresif oleh Rizab Persekutuan AS (Fed).

Peniaga ActivTrades, Dyogenes Rodrigues Diniz, berkata pelabur juga berhati-hati menjelang data gaji bukan ladang AS yang akan dikeluarkan.

Pasaran meramalkan laporan gaji bukan ladang akan menunjukkan pewujudan 200,000 pekerjaan baharu di AS pada Disember 2022 dan kadar pengangguran akan kekal pada 3.7 peratus.

"Sekiranya data itu sejajar dengan unjuran, kemungkinan dolar AS akan mula melemah berbanding ringgit, kerana ini bermakna dasar monetari yang lebih lembut boleh diguna pakai sepanjang 2023," katanya kepada Bernama.

Diniz berkata, daripada sudut teknikal, ringgit boleh menokok ke paras 4.2500 berbanding dolar AS, yang mana ia mungkin mendapat sokongan sementara.

Rakan pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata walaupun wujud sentimen yang optimis terhadap faktor pembukaan semula China, ringgit terpaksa bergelut untuk meraih kenaikan hari ini berikutan naratif Fed yang agak agresif selepas laporan pekerjaan yang lebih kukuh daripada jangkaan dan di hadapan data gaji bukan ladang utama yang akan dikeluarkan malam ini.

Ringgit diniagakan lebih baik berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding pound British kepada 5.2159/2336 daripada 5.2781/2847 yang disaksikan semasa penutupan Khamis dan naik berbanding euro kepada 4.6254/6322 daripada 4.6588/6647.

Mata wang tempatan itu juga mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.2664/2717 daripada 3.2748/2794 dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.2739/2793 daripada 3.3104/3148 sebelum ini.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini