KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan momentum positif sejak November tahun lalu sehingga memasuki 2023 untuk berada pada paras 4.334 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), dengan lonjakan sekitar 8.6 peratus dalam tempoh dua bulan lalu.
Mata wang tempatan itu hari ini meningkat ke paras tertinggi 10 bulan berbanding dolar AS berikutan jangkaan kenaikan kadar faedah yang lebih perlahan di negara maju itu pada masa hadapan selepas data inflasi AS terkini menunjukkan arah aliran menurun.
Hong Leong Investment Bank Bhd dalam nota penyelidikannya berkata, dengan risiko kemelesetan AS yang semakin meningkat, pembukaan semula China dilihat tepat pada masa untuk memberi 'perlindungan', di samping membantu mengurangkan lagi tekanan rantaian bekalan global.
Katanya, yuan yang lebih kukuh disokong pembukaan semula sempadan antarabangsa China memberi petanda baik kepada ringgit, yang memberi hubung kait sekitar 60 peratus.
"Kekuatan yuan boleh menjadi petanda baik kepada ringgit. Selepas krisis kewangan global, ringgit menunjukkan korelasi 59.7 peratus dengan yuan (yuan dan ringgit diukur berbanding dolar AS), mencerminkan sebahagiannya kemunculan China sebagai destinasi utama eksport Malaysia.
"Dengan pembukaan semula sempadan memberi pengukuhan kepada yuan dan kami melihat kemungkinan kesan positif terhadap ringgit juga.
"Kami mengekalkan pandangan kenaikan nilai kami yang rendah untuk ringgit pada 2023 kepada purata 4.34 berbanding dolar AS, daripada 4.40 pada 2022," katanya dalam nota penyelidikan yang ditulis bersama oleh penganalisis, Jeremy Goh dan Felicia Ling.
Menurut Hong Leong Investment Bank, sektor berkaitan pelancongan Malaysia seperti penerbangan, pengeluar minuman keras, penjagaan kesihatan, REIT dan telekomunikasi dilihat bakal menjadi penerima manfaat utama pembukaan semula sempadan China.
"Bukan setakat rakyat China adalah segmen penting kepada sektor pelancongan Malaysia, mereka juga adalah pelancong bernilai tinggi dengan kadar perbelanjaan lebih 19 hingga 72 peratus berbanding purata pelancong.
"Selain itu, komoditi (minyak, minyak sawit, aluminium) juga menjadi penerima manfaat pembukaan semula China. Kami mengekalkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) 2023 kami tidak berubah pada 4.0 peratus dan sasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) pada 1,580 mata," katanya.
Selepas hampir tiga tahun menutup pintu sempadannya berikutan penularan pandemik COVID-19 bermula pada 2020, China pada Ahad lalu akhirnya kembali dibuka semula.
Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China pada 26 Disember lalu, mengumumkan tahap COVID-19 diturunkan daripada Kelas A kepada Kelas B.
Kerajaan China juga menamatkan syarat kuarantin kepada pelawat luar, yang berkuat kuasa selama hampir tiga tahun, walaupun negara itu sedang bergelut dengan lonjakan kes COVID-19.
Penganalisis tempatan berkata, pembukaan semula ekonomi China tahun depan dijangka memberi impak positif terutama berkaitan aktiviti pelancongan dan perdagangan Malaysia.
Ia berikutan China adalah rakan dagang terbesar Malaysia serta penyumbang tertinggi dari segi ketibaan pelancong ke negara ini.
Ekonomi kedua terbesar dan negara paling ramai penduduk di dunia itu juga memansuhkan dasar sifar COVID-19 bulan ini berikutan pergolakan dan protes di beberapa bahagian negara itu.