Ringgit terus mengukuh, hampiri paras tertinggi 10 bulan - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers
InstaForex

Ringgit terus mengukuh, hampiri paras tertinggi 10 bulan


KUALA LUMPUR: Ringgit terus mengukuh dan menghampiri paras tertinggi dalam tempoh 10 bulan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada akhir urus niaga hari ini.

Paras itu dicapai selepas mata wang negara maju itu terus diasak perkembangan membabitkan pengumuman data inflasi AS yang lemah dan hanya meningkatkan lagi jangkaan kemungkinan bank pusat atau Rizab Persekutuan AS (Fed) akan kurang agresif untuk menaikkan kadar faedah seterusnya.

Pada 6 petang, mata wang tempatan meningkat ke paras 4.3325/3375 berbanding dolar AS daripada 4.3570/3615 pada akhir urus niaga semalam.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes memberitahu Bernama, aliran masuk yang lebih meluas terbukti memacu sentimen hari ini selepas Indeks Harga Pengguna (IHP) AS yang sebelum ini dianggap sebagai halangan sebaliknya sudah mereda.

Beliau berkata, indeks utama IHP susut 0.1 peratus dan mengurangkan kadar tahunan kepada 6.5 peratus dan tanpa mengambil kira perubahan tidak dijangka, Rizab Persekutuan (Fed) dijangka bertindak menurunkan 25 mata asas pada awal bulan depan.

Selain data IHP yang rendah, pelabur juga dalam proses menerima realiti mengenai tuntutan pengangguran mingguan yang lebih baik daripada jangkaan awal, sekali gus menjadi sebahagian daripada beberapa petunjuk pengukuhan berterusan pasaran tenaga kerja AS, kata Innes.

Tuntutan pengangguran mingguan terbukti susut kepada 205,000 dalam minggu pertama 2023 daripada minggu sebelumnya yang mencatat 206,000, malah lebih baik daripada jangkaan pada 215,000.

Dalam pada itu, seiring dengan keyakinan yang terus ketara terhadap ringgit, unit tempatan itu dijangka mampu meraih paras 4.30 dalam masa terdekat.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain, kecuali pound Britain yang menyaksikannya meningkat kepada 5.2973/3035 daripada 5.3033/3088, semalam.

Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.2782/2825 daripada 3.2764/2803, rendah berbanding euro kepada 4.6986/7040 daripada 4.6890/6938 serta turun berbanding yen Jepun kepada 3.3703/3744 daripada 3.3242/3281.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini