Ringgit melonjak tujuh hari berturut-turut - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit melonjak tujuh hari berturut-turut

KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi pagi ini meneruskan kenaikan bagi hari dagangan ketujuh berturut-turut menjelang mesyuarat Rizab Persekutan (Fed) Amerika Syarikat (AS) pada 31 Januari hingga 1 Februari 2023.

Pada 9 pagi, ringgit meningkat kepada 4.2345/2395 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.2410/2475 pada Jumaat minggu lalu.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes memberitahu Bernama, pasaran menjangkakan penurunan kenaikan kadar faedah AS daripada 50 kepada 25 mata asas dalam kadar dana Fed semasa mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC), yang dijangka dapat menyokong ringgit seterusnya pada minggu ini.

MIDF Research berkata, dolar AS terus lemah berbanding mata wang utama lain pada minggu lalu dengan Indeks Dolar AS turun 0.1 peratus minggu ke minggu kepada 101.93, paras penutup mingguan terendah dalam tempoh lapan bulan.

"Ringgit meningkat walaupun harga minyak jatuh, mengukuh sebanyak 1.0 peratus minggu ke minggu. Walaupun harga minyak mentah susut 1.1 peratus kepada AS$86.66 setong, ringgit dan mata wang serantau terus melonjak pada minggu lepas disokong oleh asas pertumbuhan kukuh dan permintaan risiko," kata firma penyelidikan itu dalam satu nota penyelidikan.

Ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain kecuali berbanding pound Britain apabila ia susut kepada 5.2495/2557 daripada 5.2453/2533 pada Jumaat minggu lalu.

Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2270/2311 daripada 3.2280/2332, naik berbanding euro kepada 4.6046/6100 daripada 4.6159/6230 dan menokok berbanding yen Jepun kepada 3.2551/2594 daripada 3.2658/2711 sebelumnya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini