Ringgit merosot, RM4.26 satu dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit merosot, RM4.26 satu dolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini di tengah-tengah tekanan daripada perkembangan luaran termasuk sekitar pertukaran asing Asia (FX), harga minyak global yang lembap dan data ekonomi dari China.

Pada 6 petang, ringgit menutup hari ini pada 4.2655/2700 berbanding dolar AS daripada 4.2410/2460 yang disaksikan semasa pengakhiran semalam.

Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata permintaan dalam pasaran mula berkurangan berikutan kebimbangan mengenai kemunculan semula risiko kemelesetan global, khasnya jika Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) mengekalkan kadar faedah persekutuan yang tinggi dengan lebih lama.

"Nampaknya peniaga FX tempatan berhenti membeli FX Asia kerana bimbang Fed akan beralih lebih agresif dalam laluan ke hadapan semasa mesyuarat dasar esok, yang pastinya memikat pasaran," katanya kepada Bernama.

Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS (FOMC) akan mengadakan mesyuarat dua hari pada Selasa dan Rabu.

Innes juga berkata, Indeks Pengurus Pembelian (PMI) China bagi sektor pembuatan, yang berada dalam keadaan lebih baik daripada jangkaan pada 50.1 semasa Januari 2023 berbanding 47 pada Disember 2022, tidak memberi inspirasi kepada pasaran tempatan kerana data aktiviti masa nyata semasa menunjukkan peningkatan ketika Tahun Baharu Cina boleh bertukar sembam.

Sementara itu, harga minyak jatuh dalam tempoh 48 jam lalu berikutan kebimbangan kemelesetan yang semakin meningkat.

Pada penutup, ringgit diniagakan kebanyakannya bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan itu merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.2386/2425 daripada 3.2315/2358 dan susut berbanding yen Jepun kepada 3.2713/2750 daripada 3.2638/2679.

Bagaimanapun, ringgit meningkat berbanding pound Britain kepada 5.2559/2615 daripada 5.2571/2633 semalam dan mengukuh berbanding euro kepada 4.6187/6236 daripada 4.6257/6311 sebelum ini.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini