Ringgit rendah menjelang penetapan kadar faedah AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers
InstaForex

Ringgit rendah menjelang penetapan kadar faedah AS


KUALA LUMPUR: Ringgit rendah semasa awal dagangan pada Selasa apabila dolar Amerika Syarikat (AS) memperoleh pergerakan meningkat menjelang keputusan mesyuarat Rizab Persekutuan AS (Fed) mengenai kadar faedah.

Pada 9.05 pagi, ringgit berada pada 4.2450/2500 berbanding dolar AS daripada 4.2410/2460 ketika ditutup pada Isnin.

Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata walaupun kebanyakan peserta pasaran menjangkakan Fed akan memperlahankan kadar pengetatan dasarnya dengan kenaikan 25 mata asas, 'perdebatan sengit' berterusan sama ada bank pusat Amerika Syarikat (AS) akan memberi isyarat bahawa terdapat perjalanan yang panjang untuk kitaran tinggi kadar atau sebaliknya.

Beliau berkata ini telah melemahkan sentimen dengan pelabur "tidak bersedia untuk membaiki gerabak mereka untuk bergerak" menjelang mesyuarat AS.

"Aset berisiko seperti ringgit telah mendapat manfaat besar daripada tema pembukaan semula China dan penurunan inflasi AS tetapi bimbang Fed mungkin tidak memutuskan seperti yang diinginkan banyak pihak serta mengekalkan kadar faedah tinggi walaupun inflasi AS yang susut menyebabkan peniaga mengurangkan beberapa risiko.

"Kami mencecah jalur atas bagi julat mingguan saya, dengan saya menjangkakan pengeksport akan menjual pada paras 4.2475 hingga 4.2500. Saya berpandangan pasaran tidak akan bergerak melebihi 4.2525 selepas data percutian positif dari China sepanjang cuti Tahun Baharu Cina," katanya.

Mesyuarat bank pusat AS akan berlangsung mulai hari ini hingga esok manakala mesyuarat Bank of England dan European Central Bank dijadualkan pada 2 Februari.

Di peringkat domestik, ringgit diniagakan tinggi berbanding beberapa mata wang utama.

Mata wang tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2306/2346 daripada 3.2315/2358 pada Isnin dan tinggi berbanding pound British kepada 5.2472/2534 daripada 5.2571/2633.

Ringgit mengukuh berbanding euro kepada 4.6071/6125 daripada 4.6257/6311 ketika ditutup semalam dan stabil berbanding yen Jepun kepada 3.2584/2627 daripada 3.2638/2679.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini