Ringgit rendah hari pertama dagangan 2023 - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit rendah hari pertama dagangan 2023

 


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Selasa ketika pasaran memasuki 2023 dengan peningkatan kebimbangan terhadap dasar Rizab Persekutuan (Fed) dan pemulihan China daripada masalah COVID-19.

Pada jam 6 petang, mata wang tempatan susut kepada 4.4050/4084 berbanding dolar AS daripada 4.3995/4095 ketika ditutup pada Jumaat.

Pasaran ditutup pada 2 Januari untuk cuti gantian Tahun Baharu.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata Indeks Pengurus Pembelian (PMI) pembuatan yang lebih lemah daripada jangkaan menjangkakan pemulihan mungkin sukar.

"Oleh itu, ringgit merosot daripada kenaikan pada awal pagi berikutan dolar AS menjadi lebih kukuh sedikit mungkin disebabkan ketidaktentuan terhadap dasar Fed yang menyaksikan segelintir pihak berpendapat pemotongan kadar tidak mungkin berlaku pada 2023," katanya.

Menurut S&P Global, PMI pengilangan Malaysia merosot kepada 47.9 pada November 2022 daripada 48.7 pada Oktober, menunjukkan kelembapan yang lebih ketara dalam perniagaan.

Bagaimanapun, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding kumpulan mata wang utama.

Ia naik berbanding pound Britain kepada 5.2538/2579 daripada 5.2930/3051 ketika ditutup Jumaat lalu, menokok berbanding euro kepada 4.6460/6495 daripada 4.6881/6988 sebelum itu dan meningkat sedikit berbanding dolar Singapura kepada 3.2768/2798 daripada 3.2786/2865.

Bagaimanapun, ringgit turun berbanding yen Jepun kepada 3.3755/3786 daripada 3.3307/3385 pada Jumaat.


Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini