Ringgit terus 'mendaki', kini RM4.28 sedolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit terus 'mendaki', kini RM4.28 sedolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada sesi urus niaga Jumaat, mencerminkan pendirian pro-pertumbuhan Bank Negara Malaysia (BNM) dalam keadaan pelabur di seluruh dunia mula mencari pulangan lebih baik dalam aset berisiko, yang memberikan sokongan untuk mata wang tempatan.

Pada 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.2830/2875 berbanding dolar AS daripada 4.3050/3100 sewaktu ditutup semalam.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata, prospek untuk ringgit kekal menarik pelabur susulan peningkatan ketara bagi perdagangan serantau yang merangsang ekonomi tempatan dan pasaran saham ASEAN, menyaksikan saham di Asia meningkat walaupun mengalami kerugian dalam pasaran AS.

"Pasaran Baru Muncul (EM) Asia kekal menjadi daya tarikan melalui eksport ke China, yang mana pengguna di republik tersebut memasuki zon pembelian terpendam selepas pandemik.

"Aliran masuk asing meningkat ke China dan Eropah, dan sementara aliran itu sepatutnya meningkat, yang menyokong kedua-dua yuan dan euro, pelabur kemudiannya akan beralih mengikut lengkungan risiko dan mencari pulangan yang lebih ketara dalam aset berisiko, iaitu EM Asia," kata beliau kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Unit tempatan menokok berbanding dolar Singapura kepada 3.2386/2425 daripada 3.2483/2523, mengukuh berbanding euro kepada 4.6393/6442 daripada 4.6602/6656 dan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.2861/2916 daripada 5.3111/3172 ketika ditutup pada Khamis.

Ringgit juga meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.3073/3111 daripada 3.3544/3588 ketika ditutup semalam.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini