Nilai ringgit terus susut - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Nilai ringgit terus susut


KUALA LUMPUR: Ringgit terus menyusut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sewaktu ditutup hari rabu seiring dengan mata wang Asia lain selepas hasil Perbendaharaan AS meningkat berikutan data indeks pengurus pembelian yang lebih kukuh di AS, kata Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes.

Pada 6 petang Rabu, mata wang tempatan merosot kepada 4.4420/4460 berbanding dolar AS daripada 4.4310/4345 sewaktu ditutup pada Selasa.

"Keadaan yang sama telah mendorong kelemahan mata wang Asia, terutamanya disebabkan pasaran mempertimbangkan mengenai inflasi AS dan data ekonomi yang akan memaksa Rizab Persekutuan AS mengekalkan kadar faedah tinggi untuk tempoh lebih panjang," katanya kepada Bernama.

Innes berkata, berikutan harga tenaga kembali merosot, 'ia akan menjadi satu lagi kesan negatif kepada ringgit.

Pada masa ini, penanda aras harga minyak mentah Brent berkurangan 1.55 peratus kepada AS$81 setong.

Ringgit turut diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan itu merosot berbanding yen kepada 3.2935/2968 daripada 3.2910/2938 sewaktu ditutup pada Selasa dan menyusut berbanding dolar Singapura kepada 3.3157/3189 daripada 3.3117/3148 semalam.

Ia turut susut berbanding euro kepada 4.7258/7301 daripada 4.7230/7267 dan merosot berbanding pound kepada 5.3655/3703 daripada 5.3531/3573 sebelum ini.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini