Sentimen pulih, pelabur yakin dorong pengukuhan ringgit - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Sentimen pulih, pelabur yakin dorong pengukuhan ringgit


KUALA LUMPUR: Pemulihan sentimen pasaran di peringkat global, pemulihan keyakinan pelabur terhadap Malaysia serta penyederhanaan kekuatan dolar Amerika Syarikat (AS), antara faktor utama yang mendorong kepada pengukuhan mata wang ringgit, kata Timbalan Menteri Kewangan, Sim Chee Keong.

Beliau berkata secara, amnya mata wang tempatan mencatatkan pengukuhan sebanyak 3.2 peratus antara 24 November 2022 dan 17 Februari 2023 berikutan kestabilan politik negara yang menjurus kepada pengukuhan pelabur.

Katanya, pada masa yang sama disokong oleh faktor penyederhanaan kekuatan dolar AS berikutan jangkaan pasaran bahawa bank pusat AS akan menaikkan kadar faedah secara lebih perlahan untuk menangani inflasi di AS yang kini menunjukkan tanda-tanda pemulihan berterusan.

"Faktor yang sama juga telah mendorong kepada pemulihan mata wang serantau," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Lim Guan Eng (DAP-Bagan) mengenai pengukuhan nilai mata wang ringgit selepas Kerajaan Perpaduan ditubuhkan serta kesan ke atas ekonomi dan kadar inflasi negara.

Chee Keong turut menekankan bahawa ringgit juga mendapat kesan positif daripada berita mengenai pembukaan sempadan China pada 8 Januari lalu dan ini menyumbang kepada prospek ekonomi yang lebih baik.

Menjawab mengenai kesan pengukuhan ringgit terhadap ekonomi dan kadar inflasi negara, beliau berkata meskipun terdapat kejutan luaran yang besar namun Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara berkembang sebanyak tujuh peratus pada suku keempat 2022 dan 8.7 peratus pada keseluruhan 2022.

"Pada masa yang sama, kadar inflasi negara menyederhana kepada 3.8 peratus berbanding 4 peratus pada November 2022 dan kadar inflasi 2022 secara keseluruhan menyederhana kepada 3.9 peratus berbanding 4.5 peratus pada suku sebelum itu," katanya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini