Penurunan ringgit fenomena global, bukan kegagalan dasar BNM - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Penurunan ringgit fenomena global, bukan kegagalan dasar BNM


KUALA LUMPUR: Penyusutan nilai ringgit lebih didorong oleh fenomena global dan pengaruh pasaran, dan bukan disebabkan oleh kelemahan asas ekonomi negara atau kegagalan langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan melalui Bank Negara Malaysia (BNM), demikian tegas Kementerian Kewangan (MOF).

Dalam jawapan bertulis kepada pertanyaan lisan Pang Hok Liong (PH-Labis) di Parlimen hari ini, kementerian itu menjelaskan pada tahun 2022, dunia mengalami kejutan apabila Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) menaikkan kadar faedah dengan magnitud yang besar iaitu sebanyak 425 mata asas (bps) dalam tempoh yang singkat di antara bulan Mac hingga November 2022 bagi menangani isu inflasi yang tinggi dan tidak terkawal di AS.

Ia berkata, peningkatan kadar faedah AS yang tinggi dan lebih agresif berbanding bank pusat yang lain telah mendorong nilai dolar AS melonjak naik berbanding hampir kesemua mata wang sedunia termasuk nilai ringgit.

Katanya, Malaysia menerusi BNM hanya menaikkan kadar faedah secara beransur-ansur dengan kenaikan kumulatif sebanyak 100 mata asas sebanyak empat kali sejak Mei hingga November 2022.

"Keadaan ini menyebabkan kadar pertukaran ringgit berbanding dolar AS telah menyusut nilai sebanyak 12.2 peratus dari Januari hingga 4 November 2022.

"Penyusutan nilai ini adalah sejajar dengan kebanyakan mata wang utama dan serantau, seperti yen Jepun (-21.5 peratus), euro (-12.4 peratus), won Korea (-16.2 peratus) dan baht Thailand (-11 peratus)," kata MOF.

Kementerian itu bagaimanapun berkata, berikutan jangkaan kenaikan kadar dasar yang lebih perlahan di AS sejak November 2022, sentimen risiko pelabur global bertambah baik.

Ia berkata, arah aliran susut nilai ringgit berubah arah dan meningkat sebanyak 10 peratus kepada RM4.2983 berbanding dolar AS dari 1 November 2022 hingga 8 Februari 2023.

Ringgit juga, katanya lebih kukuh berbanding dengan beberapa rakan perdagangan utama Malaysia, dicerminkan melalui kadar pertukaran efektif ringgit secara nominal (NEER) yang meningkat sebanyak 3.2% dalam tempoh sama.

"Perlu dijelaskan bahawa rejim kadar pertukaran yang fleksibel telah membantu Malaysia menghadapi kejutan besar berikutan pengukuhan ketara dolar AS pada tahun 2022. Ekonomi negara kekal stabil dengan perkembangan tahunan yang pesat pada kadar 8.7 peratus (2021: 3.1 peratus).

"Keadaan inflasi masih terkawal walaupun berada paras yang tinggi, dan tidak berlaku sebarang ketidakseimbangan yang besar dalam negara, meskipun berhadapan kejutan luaran yang besar ini.

"Pendekatan BNM bertumpu kepada memastikan pelarasan ringgit dalam keadaan teratur, justeru membantu perniagaan merancang dan melaksanakan keputusan perbelanjaan dan pelaburan dengan baik," katanya.

MOF berkata, risiko daripada penurunan mendadak nilai pertukaran ringgit berbanding dolar AS juga dikurangkan oleh penggunaan instrumen lindung nilai, penekanan kepada pinjaman luar yang berhati-hati dan kedalaman pasaran mata wang dalam negeri yang tinggi.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini