Penurunan ringgit untungkan pengeksport, bebankan pengguna - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Penurunan ringgit untungkan pengeksport, bebankan pengguna


KUALA LUMPUR: Penyusutan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dilihat memberi manfaat kepada pertumbuhan ekonomi berikutan peningkatan daya saing eksport negara, demikian kata Bank Dunia.

Namun, penyusutan nilai ringgit mendorong kepada peningkatan kos sara hidup apabila barangan dan perkhidmatan import dalam bakul pengguna meningkat.

Ketua Ahli Ekonomi Malaysia Bank Dunia, Dr Apurva Sanghi, berkata berdasarkan analisis perangkaan suku tahunan mendapati penyusutan nilai ringgit sebanyak satu peratus berbanding dolar AS dikaitkan dengan peningkatan satu peratus dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) benar jangka panjang.

Beliau berkata, penyusutan mata wang tempatan sebanyak satu peratus juga menyokong peningkatan 0.8 peratus dalam eksport bersih dan bagi harga pengguna pula dijangka meningkat 0.4 peratus.

"Penyusutan ringgit memberi kesan positif kepada eksport dan pertumbuhan ekonomi. Namun, penyusutan ringgit memberi kesan kepada import, yang mana menjadikan kos makanan meningkat," katanya.

Beliau berkata demikian pada taklimat media mengenai pada taklimat media mengenai Pemantauan Ekonomi Malaysia terkininya bertajuk 'Expanding Malaysia's Digital Frontier' di sini, hari ini.

Mengenai inflasi, Sanghi berkata, inflasi harga pengguna di Malaysia telah mula sederhana selepas memuncak pada suku ketiga 2022.

Beliau berkata, inflasi keseluruhan dijangka menyederhana kepada antara 2.5 dan 3.0 peratus pada 2023 keredaan kekangan bekalan global dan harga komoditi yang lebih stabil.

Kadar inflasi di Malaysia pada Disember 2022 berkurangan kepada 3.8 peratus berbanding bulan sama tahun sebelumnya dan ia juga lebih rendah berbanding bulan-bulan sebelumnya.

Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan menunjukkan inflasi pada Disember 2022 mencatatkan peningkatan 0.2 peratus, ia lebih rendah berbanding 0.3 peratus pada November 2022.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini