Prestasi ekonomi Indonesia terbaik dalam tempoh sembilan tahun - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Prestasi ekonomi Indonesia terbaik dalam tempoh sembilan tahun


JAKARTA: Pertumbuhan ekonomi Indonesia melonjak ke paras tertinggi sembilan tahun pada 2022 di sebalik ketidaktentuan global dan kelembapan pada suku terakhir, demikian laporan data rasmi yang dikeluarkan hari ini, disokong oleh kenaikan harga komoditi dan pelonggaran sekatan COVID-19.

Indonesia terjejas teruk oleh pandemik COVID-19, dengan ekonominya yang bergantung kepada eksport dan pelancongan terkesan besar pada 2020 apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menguncup sebanyak 2.07 peratus, kemelesetan pertama di negara itu sejak krisis kewangan Asia 1997.

Bagaimanapun, ekonomi terbesar Asia Tenggara itu mulai pulih sejak itu, mencatatkan pertumbuhan ekonomi 5.31 peratus tahun lalu, kata Perangkaan Indonesia hari ini, paras tertinggi sejak 2013.

"Angka itu menunjukkan bahawa ekonomi Indonesia berkembang dengan mantap pada 2022," kata ketua agensi perangkaan, Margo Yuwono.

Beliau berkata, pertumbuhan dipacu oleh harga eksport tinggi dan penarikan semula sekatan perjalanan, dengan langkah menggugurkan keperluan kuaranti pada Mac tahun lalu melonjakkan perniagaan dan meningkatkan ketibaan pelancong.

"Pembukaan semula hampir semua lapangan terbang antarabangsa mengukuhkan aktiviti ekonomi rakyat," kata Yuwono.

Negara itu menyambut lebih daripada 740,000 pengunjung pada separuh pertama tahun lalu, peningkatan lebih 900 peratus dalam tempoh setahun.

Kenaikan tahunan dicatatkan walaupun pertumbuhan ekonomi lebih perlahan pada suku terakhir 2022 selepas prestasi mantap antara Julai hingga September.

Ekonomi negara itu berkembang 5.01 peratus dalam tempoh Oktober hingga Disember, susut daripada 5.72 peratus yang direkodkan tiga bulan sebelumnya.

Namun, ia masih mengekalkan kenaikan tahunan daripada paras terendah pandemik, selepas berkembang 3.69 peratus pada 2021 ketika kes COVID-19 mula mencatatkan penurunan dan harga eksport komoditi utama seperti sawit, arang batu serta nikel naik mendadak.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini