Ringgit cenderung diniagakan negatif minggu depan - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit cenderung diniagakan negatif minggu depan


KUALA LUMPUR: Ringgit berkemungkinan diniagakan pada paras 4.3200 hingga 4.3450 berbanding dolar AS pada minggu depan dengan sedikit kecenderungan kepada negatif kerana ringgit dijadikan sandaran oleh faktor-faktor luaran dan lebih agresif terhadap Rizab Persekutuan (Fed) memandangkan pasaran akan bermula dengan lebih banyak isu kenaikan kadar AS untuk 2023, kata seorang penganalisis.

Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata, walaupun Malaysia mencatatkan pertumbuhan tertinggi dalam beberapa dekad, tetapi malangnya, prospek global semakin malap kerana kadar faedah yang lebih tinggi di pasaran-pasaran maju.

"Tetapi sama ada Fed telah mengetatkan keadaan kewangan dengan berkesan untuk menurunkan inflasi kepada sasaran dari semasa ke semasa akan menjadi perdebatan paling penting dalam agenda pasaran menjelang separuh pertama 2023," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, walaupun kebanyakan orang bersetuju bahawa pertumbuhan ekonomi keseluruhan akan pulih di China tahun ini, nampaknya terdapat keyakinan yang berkurangan tentang magnitud lantunan semula itu.

"Ramai peniaga tempatan berpendapat pemulihan dalam penggunaan isi rumah tahun ini mungkin lebih perlahan daripada yang dijangkakan, memandangkan kesan calar daripada penurunan nilai hartanah dan legasi dari tiga tahun kawalan COVID-19," katanya.

Innes berkata, hubungan AS-China akan kekal sebagai topik yang popular dan menjadikan dolar AS mata wang paling selamat di Asia.

Beliau berkata, daripada perspektif yuan, pelabur bertaruh terhadap permainan anti-China di bawah pentadbiran Presiden AS Joe Biden yang semakin meningkat tahun ini.

Sebagai perbandingan, Wall Street masih berpandangan yang lebih optimistik mengenai pemulihan penggunaan di China, berdasarkan potensi pengalaman ekonomi-ekonomi barat yang mana penggunaan isi rumah meningkat pesat selepas ekonomi dibuka semula, katanya.

"Tetapi kita berada di persimpangan sekarang sama ada China akan mengikut pelan permainan pembukaan semula oleh barat atau pendekatan pembukaan semula yang lebih berhati-hati gaya Asia.

"Harus diingat orang Cina, tidak seperti orang Amerika dan negara-negara barat, pada asasnya mereka adalah penyimpan, bukan pengguna," tambahnya.

Beliau berkata, pelabur juga kekal berhati-hati menjelang keluarnya Indeks Harga Pengguna (IHP) AS minggu depan.

Sementara itu, Kenanga Research berkata mata wang tempatan dijangka kekal tertekan melebihi ambang 4.30 berbanding dolar AS ketika pasaran menunggu keluarnya inflasi teras AS dan data jualan runcit, yang mana angka yang lebih tinggi daripada jangkaan mungkin mendorong Indeks Dolar AS (DXY) menghampiri paras 104.0.

Ringgit mengakhiri urus niaga untuk ditutup rendah pada minggu yang dipendekkan disebabkan cuti apabila data senarai gaji bukan ladang AS dan pergerakan risiko pembukaan semula China yang goyah terus menjejaskan pertukaran asing Asia, serta penolakan yang berterusan daripada ahli-ahli Fed terhadap sebarang harapan untuk penurunan kadar faedah pada 2023.

Pada asas minggu ke minggu, ringgit jatuh berbanding dolar AS kepada 4.3320/3350 pada penutup Jumaat berbanding 4.2565/2610 seminggu sebelumnya.

Unit tempatan ditutup bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama berbanding minggu sebelumnya.

Ia susut berbanding pound Britain kepada 5.2404/2440 daripada 5.2125/2180, dan jatuh berbanding dolar Singapura kepada 3.2635/2663 daripada 3.2475/2514.

Bagaimanapun, ringgit mengukuh berbanding euro kepada 4.6391/6424 daripada 4.6519/6568 dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.3089/3114 daripada 3.3106/3147.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini