Ringgit jatuh minggu ini - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit jatuh minggu ini


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu ini berikutan kekurangan momentum belian, seiring dengan sentimen lemah mata wang Asia lain, kata penganalisis.

Pada 6 petang, ringgit menyusut kepada 4.4335/4370 berbanding dolar AS daripada penutupan pada Khamis iaitu 4.4315/4365.

Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata ringgit hanya lemah sedikit dan ia mungkin disebabkan oleh kenaikan harga minyak.

Ketika berita ditulis, penanda aras minyak mentah Brent naik 1.08 peratus kepada AS$83.16 setong.

Innes berkata, pelabur tertumpu kepada data inflasi harga perbelanjaan penggunaan peribadi (PCE) AS yang akan dikeluarkan malam ini.

"Jika PCE lebih tinggi daripada jangkaan, ia akan membentuk dolar AS yang lebih kukuh minggu depan," katanya kepada Bernama.

Di Malaysia, beliau berkata, perbelanjaan yang dikecilkan dalam Belanjawan 2023 boleh memberi kesan negatif kepada ringgit daripada perspektif pertumbuhan tetapi mungkin membantu daripada perspektif fiskal yang berhemat.

"Justeru, saya berpendapat ia adalah sedikit keseimbangan," katanya.

Kerajaan telah menganggarkan bahawa perbelanjaan mengurus pada 2023 akan menurun sebanyak 1.2 peratus kepada RM289.1 bilion daripada RM292.7 bilion pada 2022, kebanyakannya disebabkan oleh peruntukan subsidi lebih rendah apabila ia membentangkan belanjawan tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan telah membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.

Bagaimanapun, peruntukan Belanjawan 2023 telah disemak naik kepada RM388.1 bilion daripada bajet berjumlah RM372.3 bilion pada Oktober 2022.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ringgit naik berbanding yen kepada 3.2804/2833 daripada 3.2998/3036 semalam, meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2970/3001 daripada 3.2990/3032 sebelumnya.

Unit tempatan mengukuh berbanding euro pada 4.6933/6970 daripada 4.6943/6996 dan melonjak berbanding pound kepada 5.3308/3350 daripada 5.3311/3371 ketika ditutup pada Khamis. 

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini