KUALA LUMPUR: Ringgit jatuh kira-kira 3.2 peratus bulan ini apabila susut daripada RM4.22 berbanding satu dolar Amerika Syarikat (AS) pada awal Februari kepada kira-kira RM4.40 setakat hari ini.
Kelemahan mata wang tempatan itu berikutan pengukuhan dolar AS dengan jangkaan kenaikan kadar faedah berterusan di ekonomi terbesar dunia berkenaan.
Pengarah/Ketua MIDF Research, Imran Yassin Md Yusof, berkata penyusutan ringgit pada bulan ini mungkin berkait dengan kegusaran pasaran mengenai keadaan inflasi berterusan di AS.
Beliau berkata, ia juga turut dipengaruhi oleh kebimbangan berterusan terhadap langkah kenaikan kadar pinjaman oleh Rizab Persekutuan AS (Fed).
"Kita dapat melihat bagaimana sentimen ini menjalar kepada mata wang lain kerana pada masa yang sama, dolar AS telah kukuh berbanding mata wang lain secara amnya," katanya kepada BH.
Bagi 2023, MIDF Research menjangkakan ringgit lebih kukuh tahun ini dengan purata sekitar RM4.20 berbanding dolar AS.
Sementara itu, AmInvest Research berkata, dolar AS semakin mengukuh pada Rabu berikutan data jualan runcit negara maju itu yang meningkat lebih pantas kepada 3.0 peratus dari bulan ke bulan pada Januari 2023 berbanding -1.1 peratus bulan ke bulan pada Disember 2022.
Ia berkata, peningkatan besar itu adalah yang tertinggi dalam dua tahun, berdasarkan perangkaan lebih ramai pengguna membelanjakan terhadap kenderaan, makan di luar dan pakaian.
"Kami jangka ringgit didagangkan antara paras sokongan RM4.390 dan RM4.400 sedolar AS sementara paras rintangan pada RM4.420 dan RM4.430 sedolar AS," katanya.
Tahun 2022 memperlihatkan peningkatan kadar inflasi di peringkat global susulan kekangan bekalan yang dicetuskan konflik Ukraine-Russia, yang mendorong bank pusat di dunia menaikkan kadar faedah.
Peningkatan kadar faedah AS secara agresif bagi mengekang inflasi di negara itu telah mengukuhkan mata wang negara itu, sekali gus memberi kesan ketara terhadap prestasi ringgit.
Tahun lalu, ringgit menyusut berbanding dolar AS dengan mencecah paras terendah sejak Krisis Kewangan Asia 1997/1998 melepasi paras RM4.70 sedolar AS.